Pelakon Sophia Albarakbah tampil membuat laporan polis selepas menjadi mangsa buli siber dan gangguan seksual sejak memenangi kategori Anugerah Selebriti Feminin Terhangat di Anugerah Terhangat Melodi baru-baru ini.
Laporan itu dibuat ke atas lebih 10 hantaran yang dimuat naik orang awam di media sosial merangkumi kecaman, penghinaan, ugutan, gangguan seksual secara terbuka dan penyebaran kandungan berunsur lucah.
Peguam yang mewakili aktres itu, Aizat Izuan Shakeel berkata anak guamnya sangat terkesan dengan tekanan emosi disebabkan kejadian tersebut dan bimbang akan menjejaskan kesihatan mentalnya.
Sejak pengumuman itu, dia menjadi mangsa tuduhan liar dan fitnah terbuka, kononnya dia ‘berdrama’ untuk meraih publisiti murahan.
Dia turut menerima komen-komen berunsur lucah dan menjijikkan yang bukan saja merendahkan martabatnya sebagai seorang wanita, tetapi juga menormalisasikan budaya gangguan seksual atas talian.
Sophia juga dikatakan turut mendapat ugutan yang menjejaskan keselamatannya termasuklah ancaman berkaitan perkara tahyul seperti santau.
Tambahnya, kesan tekanan dialami Sophia begitu mendalam dan mendorong aktres itu untuk membuat laporan polis dan tuntutan undang-undang demi menjaga hak dan maruah.
Terdapat juga penyebaran video parodi dan gambar yang dimanipulasi di media sosial dengan niat memperlekeh dan menjatuhkan maruahnya secara terbuka.
Aizat juga berkata pihak berkuasa perlu ambil tindakan tegas agar tiada lagi artis dan orang awam yang menjadi mangsa buli siber dan gangguan.
Seharusnya, kemenangan yang diperoleh menjadi satu detik membahagiakan, namun sebaliknya dia terpaksa berdepan kemurungan dan keresahan berpanjangan.