Seakan rimas dengan kenyataan segelintir usahawan tempatan yang sentiasa mengambil ringan soal akademik, seorang warganet tampil bersuara berikutan isu terbabit.
Menurut salah seorang wargamaya yang dikenali sebagai Mufarwa Farid di laman Facebook miliknya, beliau dilihat tidak bersetuju dengan kenyataan yang dilemparkan oleh usahawan tersohor tanah air, Hafiz Mahamad berikutan kegagalannya dalam bidang pelajaran.
Kata Hafiz, meskipun beliau gagal dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), perkara itu langsung tidak memberi apa-apa kesan kepada dirinya kerana teman wanitanya, Syafiqah Aina yang kini sudah bergelar isteri masih tetap setia dengannya.
Namun begitu, ia seakan tidak senang didengari Mufarwa lalu membidas kenyataan itu dan menegaskan kepada umum bahawa jangan mudah membudayakan kegagalan dalam pelajaran sebagai benda yang ringan kerana tidak semua orang sama nasib dengan usahawan tersebut.
“Tak, aku tak jeles langsung dengan dia. Aku cukup anti dengan orang yang promosikan budaya gagal dalam pelajaran ni. Gagal akademik is not cool bro. Kau nak gagal, gagal. Tapi jangan budayakan. Penat cikgu cikgi kat sekolah separuh mati nak bantu pelajar,”
Tambahnya lagi, tidak wajar untuk membiasakan keputusan SPM itu sebagai benda yang tidak penting. Hal ini demikian kerana, zaman kini agak sukar untuk seseoarang itu mendapat tempat di menara gading andai keputusan tidak memberangsangkan apatah lagi kerja yang stabil kelak.
“Ramai orang susah, disebabkan SPM tak lulus. Nak masuk U payah. Nak cari kerja stabil payah. Tak perlu menormalisasikan SPM tu tak penting. Hidup ini bukan drama. Tak semua orang bernasib baik. Kalau ada 1,000,000 budak fail SPM, tak sampai 0.1% yang dapat makwe cun dan jadi kaya macam kau,”
Bagaimanapun, beliau menegaskan dirinya tidak cemburu dengan apa yang dianugerahkan Tuhan kepada usahawan itu, namun beliau dilihat sekadar memesan kepada umum bahawa jangan terlalu ambil mudah dalam bidang akademik kerana ilmu itu adalah amat lenting dan tinggi nilainya.