Penyanyi Tasha Manshahar, telah selamat mengadakan majlis aqiqah dan cukur jambul buat anak keduanya yang baru dilahirkan itu.
Tasha atau nama lengkapnya Nur Nadia Natasha Mohd Manshahar turut mengumumkan nama puteranya iaitu Mateen Rizqi bin Fahrur Raqib.
Menurut Tasha, 29, walaupun majlis serba ringkas yang hanya dihadiri keluarga terdekat, namun dia menyifatkan ia sangat bermakna dan akan diingati.
Alhamdulillah, di hari ketujuh kelahiran putera kedua kami, dapat kami mengadakan majlis aqiqah dan cukur jambul yang dihadiri hanya keluarga terdekat.
Penyanyi lagu Bukan Aku itu memuat naik satu hantaran di laman Instagram miliknya yang memaparkan keluarga kecilnya ketika di majlis tersebut berlangsung.
Majlis serba ringkas tetapi sangat bermakna, InsyaAllah. Memperkenalkan adik Muammar yang kami namakan, Mateen Rizqi Fahrur Raqib.
Dalam pada itu, Tasha turut menitipkan doa agar kedua-dua puteranya itu dapat membesar dengan keadaan sihat dan menjadi insan yang berguna suatu hari nanti.
Terdahulu, Tasha selamat melahirkan cahaya mata keduanya itu pada tanggal 15 November lalu, di Andorra Women And Children Hospital, Seri Kembangan.