Populariti kembali memuncak selepas menyertai Gegar Vaganza musim ke-8 (GV8), namun situasi tersebut bukanlah tiket untuk penyanyi Aliff Aziz hanyut dalam lautan pujian.
Memberi peringatan terhadap diri sendiri supaya tidak terleka dengan duniawi, Aliff memberitahu yang dia tidak akan berada di posisinya ketika ini tanpa rahmat daripada Tuhan.
Tanpa henti menitipkan peringatan untuk diri sendiri. Tanpa Allah SWT, saya bukan siapa-siapa. LailahaillAllah.
Perkara tersebut turut dikongsikan Aliff menerusi sebuah hantaran di laman Instagram miliknya untuk tatapan peminat serta pengikutnya.
Sejak minggu lalu, Aliff kembali menjadi perhatian ramai selepas mendapat markah tertinggi untuk dua persembahannya pada minggu pertama dan kedua pada konsert mingguan GV8 yang bermula sejak 21 November lalu.
Sekadar info, Aliff juga antara nama yang disebut-sebut sebagai peserta yang bakal berjaya mendapat tempat ke konsert final GV8 sekiranya momentum persembahannya terus meningkat.