Topik tandas kotor di sekolah sering saja dibahaskan saban tahun dan ianya bukan perkara baru kerana sehingga ke hari ini ianya menjadi topik perbualan ibu bapa dan juga netizen.
Namun, baru-baru ini tular di media sosial mengenai pendapat seorang pensyarah yang merasakan bahawa tandas guru dan juga murid tidak sepatutnya diasingkan telah menjadi bahan perdebatan dan ramai netizen menzahirkan pendapat masing-masing mengenai isu ini.
Kata individu yang dikenali sebagai @sitiraudzah itu, tandas guru dan murid tidak perlu dibezakan dari segi penjagaan pengurusan kebersihan.
Tandas guru & murid sepatutnya tak perlu diasingkan. Bila diasingkan, isu tandas murid kotor di seluruh negara tidak akan selesai sampai bila-bila.
Tandas sekolah yg kotor akan mengeluarkan anak2 bangsa yg pengotor. Kdg tu bukan salah murid atau guru. Prasarana asas di sekolah kerajaan masih perlu di perbaiki. Sampai para guru berangan di FB, alangkan seronoknya kalau guru ada cubicle sendiri. Sebak membacanya.
— Siti Raudzah Ghazali (@sitiraudzah) March 29, 2022
Jelasnya, Kementerian Pendidikan Malaysia perlu berusaha bagi memastikan tandas anak murid di sekolah kerajaan ini bersih, bekalan air mencukupi sehingga ianya boleh digunakan oleh para guru itu sendiri.
Cadangan yang diutarakan pensyarah itu kebanyakan disambut baik oleh warga maya yang rata-rata mempunyai pengalaman mereka sendiri ketika bersekolah dahulu mempunyai tandas yang kotor dan tidak dijaga seperti tandas guru.
Namun begitu, ada juga yang tidak bersetuju kerana bimbang perkara-perkara seperti gangguan seksual misalnya terjadi di tandas yang dikongsi oleh para guru dan anak murid di kemudian hari.