Anggota polis berpangkat konstabel yang tular selepas didakwa menampar seorang penunggang motosikal di sebuah stesen minyak di Taman Perling, Johor Bahru pada Ahad lalu, tidak dibenarkan terlibat dalam sebarang penugasan operasi buat sementara waktu, memetik Kosmo Online.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad, berkata arahan itu dikeluarkan bagi membolehkan siasatan dijalankan secara menyeluruh terhadap kejadian berkenaan.
Menurut beliau, setakat ini pihak polis telah mengambil keterangan empat individu termasuk mangsa, anggota polis terbabit serta saksi kejadian.
“Kertas siasatan telah dibuka dan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Kita akan lengkapkan siasatan sebelum dirujuk ke jabatan perundangan Bukit Aman sebelum dibawa ke Pejabat Pendakwa Raya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini.
Dalam pada itu, Ab. Rahaman menjelaskan bahawa anggota terbabit tidak boleh ditahan daripada menjalankan tugas hakikinya tanpa melalui prosedur siasatan yang ditetapkan.
“Benar anggota terbabit bercuti pada hari tersebut, namun telah dipanggil bertugas bagi menyertai operasi dijalankan Ibu Pejabat Polis (IPD) Johor Bahru Utara (JBU), namanya ada dalam senarai penugasan.”
“Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan, cuma semasa kejadian difahamkan anggota cuba menahan motosikal ditunggang mangsa yang cuba melarikan diri, jadi mungkin secara spontan berlaku insiden tamparan,” jelasnya lanjut.
Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 23 saat memaparkan seorang penunggang motosikal lelaki bersama pembonceng wanita sedang meninggalkan kawasan pam minyak sebelum motosikal mereka hampir bertembung dengan sebuah motosikal lain.
Walaupun tiada pelanggaran besar berlaku, seorang individu kemudiannya dilihat menghampiri penunggang motosikal berkenaan sebelum bertindak menampar mangsa di bahagian kepala menggunakan tangan kanan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
