Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperuntukkan tambahan RM5 juta bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah-sekolah terpilih di seluruh negara. Langkah ini bertujuan meningkatkan tahap keselamatan serta mengurangkan risiko kejadian tidak diingini di institusi pendidikan.
Dalam kenyataan rasmi, KPM menjelaskan bahawa peruntukan itu merupakan sebahagian daripada pelan tindakan menyeluruh kementerian untuk memperkukuh keselamatan dan menangani isu disiplin murid.
Ia melengkapkan peruntukan awal RM3 juta yang telah diumumkan sebelum ini untuk tujuan sama.
Selain pemasangan CCTV, 10,096 guru baharu akan ditempatkan di sekolah seluruh negara mulai November 2025, termasuk lebih 500 Guru Bimbingan dan Kaunseling (GBK) bagi memperkukuh aspek psikososial dan bimbingan pelajar.
Bagi institusi berasrama penuh, KPM turut akan melantik 600 Pembantu Warden Asrama Sepenuh Masa dalam kalangan personel MySTEP, bagi memastikan pemantauan keselamatan lebih rapi serta mengurangkan beban tugas warden.
KPM juga memperkukuh peranan Jawatankuasa Pemuafakatan Sekolah melalui kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk penglibatan Pegawai Penghubung Sekolah dalam usaha pemantauan keselamatan di peringkat institusi.
“Fungsi Smart Support Team di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah turut diperkasakan bagi menyediakan sokongan psikososial semasa krisis. Guru-guru juga akan diberikan latihan berterusan bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan di sekolah,” jelas kenyataan itu.
Langkah-langkah ini diharap dapat meningkatkan tahap keselamatan sekolah, memperkukuh kesejahteraan murid, dan memastikan suasana pembelajaran yang lebih selamat serta kondusif di seluruh negara. – Berita Harian
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
