Pelakon veteran Fetty Dzul meninggal dunia akibat Covid-19 tahap lima di Hospital Selayang jam 7.30 pagi, hari ini.
Berita pemergian Fetty atau nama sebenarnya, Fatimah Abdul Rahim disampaikan anaknya, Isma Alif atau lebih mesra dipanggil Ijat oleh pelakon veteran itu.
Fetty, 63, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan sejak 7 November lalu.
Inna lillahi wa inna ilayhi raji’un. Semoga Allah SWT mengampuni arwah Mamy dan mengurniakan Jannatul Firdaus kepadanya. Aamin!
Dalam pada itu, Isma turut mengucapkan terima kasih di atas semua ingatan yang ikhlas dan doa yang baik-baik terhadap arwah ibunya dan memohon maaf sekiranya arwah ada salah silap sepanjang perkenalan dengan semua.
Minta halalkan makan minum dan perbuatan serta tutur kata arwah Mamy Fetty Dzul. Dia sayang semua orang.
Keadaan kesihatan Allahyarham semakin merosot sejak malam tadi apabila buah pinggang dan paru-parunya gagal berfungsi. Keluarganya turut mengadakan majlis bacaan Yasin malam tadi yang disertai rakan-rakan penggiat seni.
Allahyarham banyak membintangi pelbagai drama dan wajahnya sering menghiasi akhbar dan majalah pada era 1970-an dan 1980-an.