Kartunis terkenal, Artortoise atau nama sebenarnya, Mohamad Ikhsan Kamarudin disahkan telah meninggal dunia sekitar jam 1.37 pagi tadi.
Berita duka itu didedahkan menerusi sebuah posting yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Artortoise.
“Assalamualaikum WBT… Dukacita dimaklumkan bahawa saudara Mohamad Ikhsan bin Kamarudin (Artortoise) telah kembali ke rahmatullah pada jam 1.37 pagi 1 Disember 2020.”
Rentetan itu, pihaknya tampil memohon maaf andai arwah pernah melakukan kesilapan kepada sesiapa sahaja sepanjang berada di dunia ini.
“Sehubungan itu kami bagi pihak Artortoise ingin memohon ampun dan maaf kepada sesiapa yang mengenali beliau sekiranya Allahyarham ada terbuat salah silap atau ada karya-karya beliau yang menyinggung sesiapa sama ada secara sengaja dan tidak sengaja.”
Tidak ketinggalan, selain memohon doa agar segala urusan Allahyarham dipermudahkan, pihaknya juga menyeru supaya orang ramai akan terus kekal menyokong karya mereka.
Terdahulu, media tempatan melaporkan, arwah Ikhsan disahkan menghidap penyakit kanser pangkal hidung tahap tiga.
Untuk rekod, Artortoise sebelum ini amat terkenal dengan lakaran kartun yang menyentuh isu kemasyarakatan, dunia hiburan serta semasa.
Malah, antara potret figura terkenal yang pernah dilakarnya adalah seperti Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Sumber: FB Artortoise, Sinar Plus