Personaliti media sosial dan pendidik disayangi ramai, Nassry Mardee Ismail atau lebih dikenali sebagai Cikgu E, telah meninggal dunia kira-kira jam 4.35 petang tadi.
Berita pemergian Allahyarham disahkan menerusi hantaran di akaun Facebook rasmi miliknya yang turut memohon doa agar rohnya ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
“Nassry Mardee Ismail dah meninggalkan kita semua.
Moga Allah ampuni dia, rahmati dia, maafkan dia, muliakan kematian dia, lapangkan kubur dia, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggal dia dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya.
Semoga dia ditempatkan di kalangan orang yang beriman,” tulis hantaran itu.
Dalam perkongsian berbeza, anak kepada Allahyarham memaklumkan bahawa jenazah bapanya akan dikafankan dan disolatkan di Masjid Al-Ansar, Meru pada jam 7.30 malam ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Meru Raya.

Terdahulu, kisah Cikgu E pernah tular di media sosial apabila beliau berjuang melawan penyakit kanser paru-paru tahap empat.
Kecekalan dan senyumannya yang tidak pernah pudar walaupun hanya mempunyai 30 peratus fungsi saluran pernafasan yang masih berfungsi telah memberi inspirasi kepada ramai netizen.
Pemergian Allahyarham meninggalkan kesan mendalam buat para pengikut dan masyarakat yang kagum dengan semangat juangnya hingga ke akhir hayat.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
