Sementelah mengambil keputusan untuk berhijrah pada Awal Muharam yang lalu, pelakon Mawar Rashid dihujani ucapan tahniah oleh peminat dan juga rakan artis.
Mawar Rashid atau nama sebenarnya Wan Mawar Shahputri baru-baru ini telah memuat naik sebuah foto dengan kapsyen mendedahkan sebab kenapa dia berhijrah untuk memakai hijab secara sepenuh masa.
Menurut pelakon drama Tundukkan Playboy Itu ini, antara sebab dia mengambil keputusan untuk berhijrah adalah kerana takut suaminya, Raden Ahmad Faizal Yaakob terpaksa menanggung segala dosanya jika tidak memakai hijab dengan sempurna.
“Salah satu sebab Mawar berhijrah..sebab Mawar takut.. takut tak dapat keredhaan Allah S.W.T & Rasulullah, takut dengan balasan Mawar akan dapat, takut jadi punca berjauhan dengan Allah S.W.T, takut suami Mawar kena tanggung dosa Mawar..”
Dalam pada itu, Mawar turut mengucapkan terima kasih kepada mereka di luar sana yang mendoakan penghijrahannya kali ini. Ibu kepada seorang anak dan sedang menantikan cahaya mata kedua ini turut mengakui dirinya mempunyai banyak kekurangan dan sentiasa berazam untuk berubah menjadi insan yang lebih baik.