Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengesahkan bahawa tiga selebriti yang disiasat dalam Op Sky hanya menerima pembayaran untuk perkhidmatan yang diberikan, termasuk tugas mereka sebagai duta syarikat, dan tidak terlibat dalam sebarang aktiviti syarikat tersebut.
Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketiga-tiga selebriti ini tidak terlibat dalam pengurusan syarikat yang disiasat, namun mereka akan dipanggil sebagai saksi dalam siasatan yang dijalankan oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML).
Mereka dipanggil untuk memberikan keterangan sebagai saksi kerana selebriti ini digunakan untuk mempromosikan syarikat, tetapi tidak terlibat dalam pengurusan aktiviti yang dilaksanakan.
Siasatan juga mendapati terdapat sejumlah wang yang dikeluarkan untuk membayar selebriti ini, namun bayaran yang diterima adalah untuk khidmat mereka dalam syarikat tersebut
Terdahulu, media melaporkan bahawa duta syarikat yang disiasat dalam Op Sky, termasuk penyanyi Ziana Zain, pelakon Datuk Jalaluddin Hassan, dan Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor, telah memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
Op Sky, yang merupakan hasil kerjasama antara SPRM dan Bank Negara Malaysia (BNM), menyasarkan aktiviti rasuah serta pengubahan wang haram yang melibatkan syarikat perunding kewangan dan pegawai bank di beberapa institusi kewangan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.