Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, menegaskan bahawa sesiapa sahaja yang tidak menerima Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan disaran agar tidak tinggal di Malaysia, memetik Kosmo Online.
Seri Paduka Baginda bertitah, sebarang usul untuk mengiktiraf mana-mana sistem pendidikan lain mestilah menerima Bahasa Melayu dan sejarah Malaysia sebagai teras utama. Menurut Baginda, sistem pendidikan negara perlu terus diperkasakan sebagai asas pembinaan bangsa, jati diri serta masa hadapan negara.
Sumber : fotoBERNAMA KUALA LUMPUR, 19 Jan — Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengaminkan doa pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara, hari ini.
–fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
“Jika hendak buat sistem pendidikan yang baharu, ianya mestilah dibuat selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Bahasa Melayu mesti menjadi bahasa utama kerana ianya adalah bahasa kebangsaan.”
“Oleh itu, sebarang usul untuk mengiktiraf apa juga sistem pendidikan lain, mestilah terima Bahasa Melayu dan sejarah Malaysia. Kalau ada yang tidak terima Bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia,” titah Baginda.
Titah tersebut disampaikan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima, Parlimen Ke-15 di Parlimen Malaysia hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Sultan Ibrahim turut menyeru agar kawalan terhadap teknologi diperkukuh bagi membendung kes penipuan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
“Ancaman jenayah berat dan keganasan serta perbuatan yang menyentuh ‘3R’ (Race, Religion, Royalty) juga hendaklah ditangani dengan berkesan.”
“Undang-undang berhubung keselamatan negara serta ancaman luar negara wajar diwujudkan segera, kerana hanya dengan cara ini keharmonian antara semua kaum dan kedaulatan negara akan sentiasa terpelihara,” titah Baginda.
Titah tegas Seri Paduka Baginda itu mencerminkan penekanan terhadap kepentingan Bahasa Melayu, sejarah negara serta keselamatan nasional dalam memastikan perpaduan dan kestabilan Malaysia terus terpelihara.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
