Penerbit dan pengarah, Erma Fatima, tampil menjelaskan kedudukannya susulan dakwaan bahawa salah seorang pelakon dalam drama terbaharunya, ‘Pondan Itu’, kononnya terlibat dalam penjualan video seks.
Erma atau Fatimah Rahmad Ali, 57, berkata dia tidak mengetahui perkara itu kerana bukan pengikut bahan lucah dan menekankan bahawa tuduhan tanpa bukti tidak patut dipercayai.
View on Threads
Katanya ketika dihubungi mStar,
Berhubung dakwaan bahawa pelakon saya menjual video seks, wallahualam sebab saya tak tengok. Saya bukan pengikut video seks, jadi memang saya tak tahu. Kalau benar sekalipun, saya tidak akan anggap ia fakta tanpa bukti yang jelas. Sebelum mengambil pelakon itu berlakon, saya tak terfikir langsung tentang hal ini dan saya harap ia bukan fitnah. Jangan jadikan trailer atau apa yang dikongsikan netizen sebagai bahan untuk buat fitnah.
Selain itu, Erma juga meluahkan rasa kecewa terhadap kritikan netizen berhubung penglibatan golongan transgender dalam drama itu. Menurutnya, kecaman yang muncul setiap kali teaser drama dikongsikan di media sosial sudah menjadi klise dan tidak wajar.
Jelasnya bagi menutup spekulasi itu,
Tak kisahlah dia pondan atau gay, mereka tetap sebangsa dan seagama dengan saya. Jadi, netizen jangan cepat membuat penghakiman hanya kerana melihat trailer yang kurang daripada 15 saat.