Susulan keputusan McDonald’s Malaysia baru-baru ini melarang pelanggannya dari membawa kek yang tidak ada status tanda halal masuk ke dalam premis, nampaknya menimbulkan rasa tidak senang hati ramai pihak.
Terbaru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup dalam satu kenyataannya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu jaga perasaan rakyat bukan Islam kerana Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.
“Tindakan ini akan memecahbelahkan struktur masyarakat kita dan ia tidak akan mendatangkan sebarang manfaat dalam dasar Transformasi Negara (TN50) yang diasaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Dengan pelbagai larangan yang tidak bersesuaian akan menjejaskan negara Malaysia yang kita cintai. Kita mesti bersatu padu bagi memastikan TN50 mencapai matlamat,” kata beliau ketika ditemu ramah oleh Oriental Daily.
Dalam satu kenyataan balas pihak McDonald’s berkata, tujuan larangan berkenaan dilakukan adalah untuk menjamin status halal restorannya.
“Ia bagi memenuhi tuntutan kelayakan sijil halal kami dan kami mengesahkan mengenai beberapa keping gambar polisi kek hari jadi yang tersebar di media sosial baru-baru ini” jelas mereka.