Jika sebelum ini pasangan ini telah terpalit kontroversi melibatkan rumah tangga, pelakon Puteri Sarah Liyana dan suami, pengarah Syamsul Yusof khabarnya kini sedang berada dalam proses membaiki semula hubungan yang sedikit retak tempoh hari.
Meskipun begitu, Puteri Sarah baru-baru ini ada mendedahkan bahawa dia menyedari ada individu yang bertindak untuk menganggu diri dan ahli keluarganya di laman sosial.
Menurut Sarah, individu berkenaan sanggup mencipta akaun palsu semata-mata untuk mengintip aktiviti harian mereka berdua seolah-olah tidak berpuas hati melihat dia dan suami berbaik semula.
Perkara itu didedahkan Sarah menerusi satu hantaran di Instagram Storinya untuk tatapan peminat.
“Sampai terpaksa buat akaun palsu untuk kacau saya. Dah 2021 dear, terimalah kalau buat jahat Allah takkan izinkan awak menang, Allah tak tidur. Memang tak tenang ya tengok dah berbaik?”
Tambah ibu kepada dua orang anak ini lagi, individu yang tidak didedahkan identitinya itu turut bertindak menganggu ibu mertua dan kakak ipar serta stokis perniagaan miliknya.
Justeru itu, pelakon drama Melastik Ke Hatimu ini telah meminta individu berkenaan supaya muhasabah diri serta mendekatkan diri dengan tuhan.
View this post on Instagram
“Nak kena report polis lagi ke awak ni? Tolong jaga maruah tu sikit. Tolong pergi berubat, teruk sangat dah awak ni. Kalau awak rasa tak tenang. Selalulah tahajud dan solat taubat. Insya Allah rasa dosa yang menebal dalam diri itu akan terhapus sikit demi sedikit. Hidup pun tenang.”
Terdahulu, sekitar awal Januari lalu, Puteri Sarah ada mendedahkan bahawa dia menerima banyak mesej peribadi daripada individu tidak dikenali yang menggunakan akaun yang berbeza. Dia juga berkata bahawa tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis terhadap individu yang melakukan provokasi dan memanipulasi isu masalah rumah tangganya dengan suami.