Tidak sanggup mendengar jeritan dua beradik dan melihat mereka didera, jiran bertindak menghubungi Talian Kasih sebelum akhirnya pihak berkuasa membuat serbuan di rumah mereka.
Menurut Ketua Kampung Batu 12 Puchong, Muhammad Aidil Zailani, dia telah dihubungi dan dimaklumkan tentang kejadian selepas jiran prihatin menghubungi Talian Kasih.
Aidil,31, berkata dia berada di tempat kejadian ketika pihak berkuasa menyerbu kediaman yang dihuni seorang wanita bersama teman lelaki dan dua anak perempuannya, kelmarin.
Apa lebih menyedihkan, dua beradik itu bukan sahaja didera tetapi juga diabaikan penjaga mereka yang tidak memberi makan dan terpaksa tinggal dalam rumah yang kotor.
Saya terima rakaman video pengakuan remaja perempuan yang memberitahu didera ibu dan adiknya didera kekasih ibu. Selepas melihat video itu, saya terus buat laporan polis untuk menyelamatkan mereka.
Pada hari sama juga, pihak berkuasa datang menyerbu rumah mereka dan dua beradik itu berjaya diselamatkan serta dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
Syukur masih ada jiran prihatin
Tambah Aidil, dia juga telah dihubungi oleh pihak Jabatan Agama kerana dimaklumkan bahawa pasangan yang baru berpindah ke kampung tersebut sejak beberapa bulan lalu itu, belum berkahwin.
Aidil akui tidak sangka kejadian penderaan berlaku di kampungnya namun pada masa sama bersyukur kerana masih ada jiran yang prihatin yang membuat laporan untuk tindakan segera.
Kejadian ini menunjukkan pentingnya jiran-jiran mengambil berat keadaan sekeliling dan memang fokus kita juga untuk bertindak segera jika ada isu kemasyarakatan, kemiskinan, penderaan dan sebagainya.
Perbuatan pasangan berusia 37 dan 42 tahun itu terbongkar selepas anak sulung wanita itu berusia 16 tahun berjaya melarikan diri dan meminta bantuan penduduk setempat.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kedua-dua suspek kini direman sehingga 10 Jun ini untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.