Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim, mengesahkan bahawa pemain bola sepak berkenaan telah kembali rujuk dengan bekas isterinya, Nur Syazwani Mizuana Shahril, pada 9 Disember lalu.
Memetik laporan Mstar, Akberdin memaklumkan bahawa permohonan rujuk akan difailkan dalam masa terdekat bagi melengkapkan proses tersebut secara rasmi di mahkamah.
Alhamdulillah, betul Faisal dan bekas isterinya sudah kembali rujuk. Saya akan memfailkan permohonan rujuk ini dalam waktu terdekat.
Menurut Akberdin, pasangan tersebut memilih jalan perdamaian kerana masih menyimpan perasaan sayang antara satu sama lain, selain komitmen untuk membesarkan anak lelaki mereka bersama-sama.
Soal jodoh ini rahsia Tuhan. Apa-apa boleh berlaku. Saya tumpang gembira apabila Faisal memaklumkan dia sudah kembali bersama bekas isterinya.
Selama ini pun dia sangat mencintai isteri dan anaknya. Kita doakan semoga rumah tangga mereka kekal bahagia.
Terdahulu, Faisal dan Nur Syazwani dilaporkan sah bercerai talak dua di Mahkamah Rendah Syariah Klang, Selangor.
Talak pertama telah dilafazkan pada 11 Jun lalu, namun pasangan itu kembali rujuk pada hari yang sama. Lafaz talak kedua pula dilakukan pada 10 November lalu.
Untuk rekod, Faisal dan Nur Syazwani mendirikan rumah tangga pada 9 Mac 2019 dan hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

