Pelakon Lana Nodin mengakui dia berasa puas hati dan gembira meskipun berhabis duit sebanyak RM166,000 bagi tujuan pembedahan kosmetik di bahagian hidung.
Kata Lana, pembedahan kosmetik yang dilakukan bukanlah bertujuan suka-suka sebaliknya disebabkan oleh masalah kesihatan.
Saya akui sudah banyak kali buat pembedahan. Rasanya, semua sudah tahu, mula-mula saya menjalani pembedahan kosmetik beberapa tahun lalu kerana nak betulkan semula hidung yang senget akibat kemalangan motosikal di bangku sekolah.
Kalau dikira, sudah lima kali saya lalui proses ini. Apa yang boleh saya kongsikan, dulu, teknologi tidak sama macam sekarang. Tempoh hari, saya ke Seoul, Korea Selatan untuk buat pembedahan hidung tetapi dengan menggunakan tulang rusuk pula.
Berhabis sebanyak RM166,000, saya berpuas hati dengan hasil pembedahan. Tak rasa sakit langsung! Mungkin sebab teknologi pun sudah berevolusi. Saya harap itulah kali terakhir perlu jalani pembedahan.
Berikutan itu, Lana berkata dia tidak akan memandang serong mana-mana orang yang melakukan pembedahan kosmetik kerana merasakan mereka mempunyai alasan yang tersendiri.
Secara peribadi, saya fikir tak salah pun jika seseorang itu nak tampil cantik. Kalau tidak, tak adalah semua orang pakai produk atau merawat kulit wajah atau pakai kosmetik. Satu yang saya tahu, jika buat pembedahan wajah atas faktor kesihatan itu dibolehkan.
Lana dalam pada itu berkata bahawa dia tidak kisah dengan tohmahan dan kecaman netizen setelah secara terbuka berkongsi mengenai perkara itu kerana merasakan mulut orang itu tidak boleh ditutup dan pasti ada yang akan tetap mengata dan mengutuk dirinya.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.