Sedang menikmati percutian bersama keluarganya di Pulau Langkawi, pelakon jelita Nora Danish dilihat tidak lokek berkongsikan beberapa gambar cantik percutian di akaun Instagram miliknya.
Bagaimanapun, apa yang menjadi perhatian netizen bukanlah lokasi percutian yang dikongsikan Nora, namun baju gaun hitam yang digayakan oleh aktres itu yang menjadi bualan hangat netizen di ruangan komen posting berkenaan.
Netizen seolah-olah ‘sakit mata’ melihat pemilihan pakaian yang digayakan Nora.
Tidak dapat dinafikan, ramai yang memuji kecantikan Nora yang persis anak dara, namun ada yang kurang senang dengan pakaian yang digayakan olehnya yang menampakkan sedikit bahagian perutnya.
Seperti sudah dijangka, rata-rata pengikutnya meninggalkan komen berbaur teguran kerana menyifatkan imej Nora tidak manis dipandang orang ramai. Malah wujud juga segelintir peminatnya yang tampil memberi nasihat agar berpakaian lebih sopan.
Lebih mengejutkan, ada juga yang tidak ketinggalan mengaitkan imej itu seolah tidak
sesuai kerana sebelum ini Nora berjaya khatam Al-Quran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Untuk rekod, Nora sebelum ini telah berkahwin dengan Nedim pada 30 Mac 2017. Pasangan ini kemudiannya dikurniakan putera sulung, bernama Mohamed Neqayl Nedim pada 22 Februari 2018.
Menerusi perkahwinan pertama, Nora dikurniakan seorang cahaya mata, Putera Rayqal Ramli Rizal Ashram. Manakala, Nedim juga mempunyai seorang anak, Mohamed Nedrin dalam perkahwinan terdahulu.