Tampil memuat naik gambar memegang cincin di hadapan seorang wanita sehingga timbul spekulasi bahawa dirinya melamar kekasihnya Intan Ladyana, penyanyi Harris Alif akui ia hanyalah gimik semata-mata untuk lagu terbarunya berjudul Anugerah.
Bagaimanapun, kata Harris, lagu tersebut ditujukan khas buat kekasihnya.
“Bagi saya biasalah kalau penyanyi nak berkongsi gambar babak-babak dalam muzik video lagu mereka. Bila kita nak keluarkan satu-satu lagu atau projek baru, kita kena bagi sesuatu yang buat orang tertunggu-tunggu. Jadi saya boleh katakan ia sebagai gimik juga. Single ini juga saya tujukan buat Intan kerana ia merupakan lagu romantis yang boleh dikaitkan dengan kisah cinta sesiapa jua.”
Disoal berikutan kisah cintanya, Harris mendedahkan mereka kini dalam perancangan untuk ke fasa seterusnya.
Bahkan, kedua-dua mereka merancang untuk terus melangsungkan pernikahan tanpa majlis pertunangan.
“Memang dari awal perkenalan dengan Intan, kami ada berbual mengenai masa depan dan ikatan perkahwinan. Kami mungkin akan terus melangsungkan majlis pernikahan tanpa bertunang. InsyaAllah, saya akan beritahu kepada pihak media bila tiba masanya nanti. Kita tunggu sahaja majlisnya nanti, buat masa sekarang saya memang tak boleh komen mengenai hal itu.”
Untuk rekod, lagu Anugerah merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Archie Nasution dan diedarkan oleh Sony Music Malaysia.
Sumber: mStar