Pelakon yang kini bergelar pengarah, Hairul Azreen mendedahkan bahawa dia dan isteri jarang bertemu di set penggambaran masing-masing untuk tujuan memberi semangat kerana berasa malu dan segan.
Hairul atau nama sebenarnya, Hairul Azreen Idris berkata, sejak mereka berumah tangga pada tahun 2015 yang lalu, hanya empat kali Hanis datang ke lokasi penggambaran menjenguknya untuk memberi semangat.
Pelakon filem Paskal itu baru-baru ini memuat naik beberapa keping foto yang memaparkan isterinya datang ke set untuk memberi sokongan atas kejayaan filem pertama arahannya berjudul Ada Hantu!.
View this post on Instagram
“Ada orang datang set kita la. Sepanjang kami couple dan selepas hidup bersama, isteri saya tak pernah datang tengok saya shooting sebab kami berdua segan. Tetapi set shooting Paskal adalah set kali pertama Hanis datang tengok saya berlakon sebab saya cakap, saya bangga buat cerita ni. Kali kedua dia datang set filem Wira dan buat kejutan sebab masa itu birthday saya. Kali ketiga di set filem Pasal Kau, masa tu saya tembam. Semalam dia datang di set Ada Hantu! Saya sebagai pengarah.”
Dalam pada itu, menurut Hairul lagi, isterinya lebih selesa untuk datang ke lokasi penggambaran penerbit dan pengarah Adrian Teh meskipun beberapa kali menolak untuk berlakon dalam filem arahannya.
Pasangan yang sering memuat naik gambar mesra keluarga mereka di media sosial ini telah mendirikan rumah tangga pada 5 Jun 2015 yang lalu dan kini telah dikurniakan dua cahaya mata iaitu Yusuf Iskandar,3, dan Alisa Aisyah yang kini berusia setahun.