Ratu Jazz Negara, Datuk Sheila Majid mengingatkan setiap kementerian dan agensi kerajaan supaya cakna akan tanggungjawab mereka terhadap rakyat yang terjejas disebabkan bencana banjir.
Menurut Sheila, bencana banjir yang melibatkan beberapa negeri utama di Semenanjung tanah air merupakan krisis nasional yang perlu diberikan perhatian sewajarnya.
Kita perlukan pelan dan delegasi mampan tentang apa yang perlu dilakukan secara sistemaik dengan kadar segera selaras dengan bidang kerja setiap kementerian dan agensi kerajaan.
Sheila turut memberitahu bahawa hanya menteri-menteri yang memiliki kuasa untuk meluluskan perkara di peringkat nasional dan tolonglah salurkan sumber bantuan yang sudah ada.
Perkara tersebut dikongsikan Sheila menerusi sebuah hantaran Instastory dalam laman Instagram miliknya untuk tatapan peminat serta pengikutnya di media sosial tersebut.
Dalam pada itu, Sheila turut menempelak tindakan segelintir pemimpin yang masih dahagakan perhatian dan publisiti pada saat ramai yang sedang sengsara disebabkan masalah banjir.
Tambah Sheila, mereka sememangnya perlu tinjau kawasan terjejas namun tidak perlu pelancaran atas nama publisiti dan pergi sendiri bersihkan rumah orang kerana itu semua bukan apa yang orang mahukan.
Sebaliknya, Sheila memberitahu yang pihak kerajaan perlu wujudkan pasukan bantuan terdiri daripada pakar-pakar yang tahu bagaimana mahu mengendalikan krisis nasional serta gerakkan pasukan tentera untuk membantu jika diperlukan.
Orang tak perlukan wang sekarang, mereka perlukan sokongan dan bantuan.
Ujar Sheila lagi, masih ramai yang terperangkap dalam situasi banjir sekarang dan itu menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat kerana ia merupakan keutamaan paling utama.