Sebagai seorang selebriti yang sering menjadi tumpuan ramai, pastinya ada antara mereka sanggup berhabis sehingga puluhan ribu ringgit setiap bulan untuk tampil cantik. Ada yang buat rawatan pemutihan kulit, mancungkan hidung, rawatan agar gigi lebih teratur menghasilkan senyuman yang lebih menawan dan macam-macam lagi.
Namun, pelakon berbakat Nabila Huda ataupun mesra dengan panggilan Abil tidak terkesan dengan sesetengah komen netizen yang seakan “menghina” beliau sebagai wanita berkulit gelap. Abil mahu menjadi dirinya sendiri dan tidak terlalu serius mengenai isu kecantikan yang agak subjektif.
Buat Abil setiap wanita mempunyai kecantikan tersendiri. Tidak perlu mengubah apa yang mereka ada semata-mata untuk kelihatan lebih menarik.
Kenyataan Abil itu turut disokong oleh netizen termasuklah rakan artis yang memuji sikap sederhananya.
Kecantikan sebenar tidak seharusnya dilihat dari segi penampilan luaran semata-mata. Janganlah paksa diri untuk tampil cantik hanya untuk memuaskan hati orang lain.