Tak Patuhi Larangan Merokok Dalam Tandas Pesawat, Seorang Individu Dipenjara 14 Hari

Trending

Tak Patuhi Larangan Merokok Dalam Tandas Pesawat, Seorang Individu Dipenjara 14 Hari

rokok_malindo_600Seorang pengusaha kafe di Perth, Australia yang mengakui dirinya seorang perokok tegar dijatuhi hukuman penjara 14 hari oleh Mahkamah Majistret Sepang hari ini selepas mengaku bersalah merokok dalam tandas pesawat Malindo Air.

Ibrahim Bob Ibrahim, 46, pemegang pasport Australia dan berketurunan Jordan didakwa menghisap rokok dalam tandas bahagian belakang pesawat Malindo Air penerbangan OD152 dari Perth, Australia ke KLIA pada 24 Mei lalu.

Advertisement

Ibrahim menghadapi pertuduhan di bawah Peraturan 73(2) Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 1996 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 188 (6)(a) peraturan sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Majistret, Sharifah Muhaymin Abdul Khalib memerintahkan hukuman penjara itu dilaksanakan dari tarikh tangkapan.

Ibrahim kelihatan tenang namun agak keletihan dalam kandang tertuduh ketika pertuduhan dibacakan kepadanya dalam Bahasa Inggeris.

Berdasarkan fakta kes, seorang daripada anak kapal penerbangan tersebut mendapati tertuduh menghisap rokok dan memaklumkan perkara itu kepada kapten pesawat yang kemudiannya membuat laporan polis.

Barang kes yang dibawa dalam mahkamah ialah kotak rokok dan tiket penerbangan Malindo Air milik Ibrahim.

Dalam rayuannya, Ibrahim yang diwakili peguam, Zaflee Pakwanteh mendakwa kali terakhir dia menaiki pesawat ialah lapan tahun lalu dan ketika itu dia masih boleh merokok dalam penerbangan.

“Anak guam saya merupakan seorang bapa tunggal dan menyara ibunya di Perth memohon maaf atas kesalahan yang dilakukan dan tidak ada niat untuk membahayakan penumpang lain. Dia merupakan seorang perokok tegar dan sukar mengawal ketagihannya,” katanya lagi.

Timbalan Pendakwa Raya, S Abirami memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal kerana pengumuman tidak dibenarkan merokok dalam pesawat sudah dibuat sebelum pesawat berlepas dari Perth dan tindakan merokok dalam tandas pesawat boleh membawa padah kepada semua penumpang dalam penerbangan itu.

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...

Comments are closed.