Amalan hormat menghormati adalah satu perkara yang harus kita amalkan dalam kehidupan harian kita, lebih-lebih lagi bila bercampur dengan masyarakat setempat yang berbilang peringkat umur.
Seperti di dalam pengangkutan awam juga tak terkecuali, selalu kita dengar dan baca di media sosial kisah pengajaran atau kempen mengenai budaya hormat menghormati di dalam pengangkutan awam.
Keutamaan perlu diberikan kepada mereka yang lebih memerlukan, tetapi rupanya rakyat Malaysia masih sedikit mempunyai kesedaran dalam hal ini.
Dikongsikan sebuah cerita oleh seorang pengguna Facebook bernama Muhamad Safwan MY kisah seorang lelaki warga tua yang tidak dipedulikan orang ramai semasa menaiki LRT.
Bersopan santun, bangun dan biarkan mereka duduk.
Semalam, saya ada mesyuarat dengan pihak Petrosains di Menara Kembar Petronas(KLCC). Saya telah bertolak kira-kira jam 8.30 pagi, meredah jalan yang mempunyai pelbagai ragam pemandu, sambil mendengr berita pagi dengan penuh perhatian sambil melayan muzik di aplikasi Spotify.
Saya ambil keputusan untuk naik LRT dari Bandar Puteri Puchong untuk ke KLCC, bermakna saya perlu tukar ke RapidKL dari Puchong, transit di Sri Petaling di Star LRT dan transit yang seterusnya di Masjid Jamek ke KLCC.
Seperti biasa, tren akan dipenuhi dengan ratusan penumpang yang duduk, berdiri dan memegang palang besi untuk untuk mengelakkan mereka jatuh.
Bila sampai di stesen Bukit Jalil, seorang wanita mengandung masuk dan saya terus menawarkan tempat duduk kepadanya kerana tiada lagi tempat duduk yang kosong. Saya sumbat earphone ke telinga untuk layan lagu.
Apabila tiba di stesen LRT Sungai besi, lebih ramai penumpang mulai amsuk ke gerabak kami termasuklah seorang pak cik tua.
Dia kelihatan memakai kain batik lama yang agak lusuh, seluar panjang dan memakai sepasang selipar itu melangkah masuk dengan perasaan dan wajah yang amat hampa sekali.
Saya memangdang kiri dan kanak untuk mencari tempat duduk kosong, tetapi malangnya tiada tempat duduk yang kosong.
Lelaki berkenaan dilihat berdiri di sana sambil memegang tiang besi di tengah gerabak, saya hanya senyum dan menyambung membaca berita di telefon.
Sebaik tiba di stesen Chearas, Seorang penumpang lelaki muda berdiri untuk turun dan meninggalkan tempat duduk itu kosong.
Saya segera menghalang seorang lelaki lain yang cuba mahu merebut kerusi itu dan menawarkannya kepada pakcik tua tadi dan kemudian berlaku sesuatu di luar jangkaan.
“Uncle, mari duduk di sini. You sudah lama berdiri,”
“Tak perlu. Saya 60 tahun dan masih kuat untuk kelihatan bodoh memegang tiang besi ini sementara generasi muda kita sedang duduk dengan selesa sambil mendengar muzik mereka.
“Mentaliti apa yang orang muda sekarang pakai? Tiada seorang pun yang menawarkan tempat duduk pada saya hanya kerana saya kelihatan buruk atau kerana saya lelaki tua, bukannya wanita tua?
“I dulu kerja askar menjaga negara tapi sekarang saya sedih tengok orang Malaysia langsung takde hati perut mahu offer a seat. Bukan mahu minta simpati, tapi bagilah empati sikit. Saya bukan orang bodoh. Saya memang perhatikan je semua orang, Selepas tiga stesen, masih tiada yang mahu menawarkan saya tempat duduk. Tak apalah nak, pakcik masih boleh berdiri lagi. Ini tazkirah pagi untuk semua orang dalam gerabak ini. Saya akan keluar di stesen seterusnya,” katanya.
Luahan berkenaan membuakan orang ramai di dalam gerabak berkenaan menoleh ke arahnya, ada antara mereka rasa bersalah telah mula berdiri dan menawarkan tempat duduk itu kepada dua wanita berusia yang telah berdiri sekian lama. Yang selebihnya hanya memandang kami.
Saya ingatkan, saya sudah menunjukkan contoh kepada mereka dengan membantu menawarkan tempat duduk saya kepada wanita hamil. Saya ingatkan dengan melaksanakan tanggungjawab sosial itu boleh memberikan contoh kepada yang lain agar melakukan perkara yang sama terhadap golongan yang berusia pakcik dan makcik berusia 60 tahun.
Saya ingat saya sudah melakukan perkara yang betul namun saya gagal untuk menyedarkan orang lain ke arah lebih positif dan gagal menyuarakan perkara yang betul.
Saya percaya kebanyakan daripada kita menilainya terlalu awal. Hakikatnya dia seorang lelaki Melayu yang cukup prihatin untuk meneliti trend dan sikap dalam masyarakat kita sendiri.
Pakcik itu telah mengajar saya satu pengajaran yang bermakna iaitu salah tetap salah walaupun semua orang melakukannya dan benar tetap benar walaupun tiada sesiapa yang melakukannya.
Jika anda menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam, marilah kita membantu seberapa ramai orang yang mungkin. Bersama-sama kita mewujudkan kesedaran dan mendidik orang ramai mengenai pentingnya mempunyai secubit rasa empati dan rasa ingin membantu orang lain.