Tidak ramai yang tahu pelakon dan model Haneesya Hanee tinggal di flat kos rendah sejak berusia 12 tahun. Ada juga yang mempersendakannya tetapi Haneesya berkata dia sedikit pun tidak pernah merasa malu menghuni rumah tersebut.
Pernah melalui kehidupan yang susah sehingga satu ketika menjadi gelandangan, Haneesya bersyukur dapat tinggal di Program Perumahan Rakyat (PPR) dimana ia satu anugerah besar buatnya dan keluarga. Haneesya dan keluarga menetap di PPR Pudu Ulu, Cheras, sejak tujuh tahun lalu.
Saya tak malu duduk di PPR. Saya tahu asal usul diri. Bagi saya, isu menetap di kawasan PPR tidak pernah menjadi ‘kudis’.
Pernah dahulu, kami hidup susah sampai jadi gelandangan dan menumpang rumah orang lain. Apabila mendapat rumah PPR, ia menjadi suatu pemberian Allah yang amat disyukuri. Dapatlah kami anak beranak berteduh daripada panas dan hujan.
Haneesya mengakui selesa tinggal di PPR dan seronok hidup berjiran, satu komuniti yang berbeza dari tempat lain. Buat masa ini dia belum terfikir lagi untuk berpindah ke rumah lain.