Melalui laporan Astro Awani, pelaksanaan kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) akan ditambah baik menjadi lebih canggih, di mana ia menggunakan kaedah point-to-point berbanding kaedah statik yang digunakan sebelum ini.
Difahamkan dari Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, pembaharuan ini membolehkan pemantauan kenderaan dilakukan secara menyeluruh dengan mengukur kelajuan purata kenderaan antara dua titik kamera berdasarkan jarak serta masa.
Kita tidak mahu pemandu memperlahankan kenderaan hanya di depan kamera itu, tetapi (perlahan) dalam satu jarak yang tertentu. Katakan antara titik A dengan titik B, kita ingin tahu pemandu menggunakan masa berapa lama.
Sebagai permulaan, Anthony Loke berkata ia akan dilaksanakan di kawasan berbahaya dan berisiko tinggi seperti di kawasan berbukti di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) di Genting Sempah dan Terowong Menora, Ipoh.
Objektif kita adalah untuk memastikan kenderaan itu perlahan terutamanya bas dan sebagainya supaya pemandu tidak memecut semasa mereka turun bukit.