Pelakon dan aktivis, Rafidah Ibrahim akui tidak tahu mahu ke mana selepas operasi pengosongan kediaman penduduk Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur dilakukan semalam.
Dakwa Rafidah, pemaju bersungguh-sungguh mahu memastikan penduduk di situ diusir dan keluar dari kawasan berkenaan untuk mengambil alih tanah.
Terus-terang cakap, saya, keluarga dan anak tak tahu nak pergi ke mana. Rumah saya dah tentu dirobohkan (rumah flat), sekarang saya menumpang di rumah jiran.
Aktivis berusia 39 tahun itu juga mendakwa sebelum ini pemaju turut mengupah gengster untuk menggertak dan mengusir penduduk sebelum menggunakan khidmat polis semalam.
Susulan itu, Rafidah mempersoal sekiranya pemaju tersebut lebih berkuasa daripada kerajaan kerana dilihat seperti mempunyai ‘lesen besar’.
Tak kisahlah katanya sedang bertugas atau apa, mana hati perut? Sepatutnya hari ini pengosongan, tetapi mereka pecahkan dan bawa keluar semua barang, main letak sesuka hati.

Dalam pada itu, Rafidah turut berkata penduduk sepatutnya boleh membuat rayuan penangguhan di mahkamah pada 3 Oktober akan datang namun semalam, 11 September pula ditetapkan hari untuk pengosongan.