Meskipun sudah lama tidak nampak susuk ini di kaca televisyen, namun nama Mislina Mustaffa dan bakat lakonannya tidak dilupakan peminatnya.
Antara filem popular lakonannya adalah Cun, Talentime, Mukhsin dan cerita yang diadaptasi daripada kisah benar kehidupan penyanyi Zaiton Sameon, Zaiton: Ceritaku.
Baru-baru ini, tular di aplikasi TikTok video mempamerkan penampilan terkini Mislina selepas ia dimuat naik oleh seorang lelaki dipercayai kenalannya.
Menerusi rakaman itu, Mislina membacakan penulisannya bersempena dengan Hari Wanita Sedunia namun apa yang lebih menarik perhatian netizen adalah tatu di lengannya.
Ramai yang memberikan respon dan komen mereka selepas menonton video tersebut di mana ada di antara mereka yang merindukan lakonannya.
Namun, penampilan ala Reggae Mislina dan perubahan dirinya yang mempunyai tatu itu membuatkan peminat berasa kecewa dan mendoakan agar dia berubah ke jalan yang benar.
Dalam pada itu, sesetengah individu turut memuji Mislina kerana tetap nampak sama meskipun pelakon itu sudah menjangkau 51 tahun.