Bintang Gegar Vaganza musim ke-8 (GV8), Adibah Noor mengakui dia telah melakukan kesilapan gara-gara mengubah susunan muzik lagu Berdiri Bulu Romaku nyanyian asal Hetty Koes Endang.
Ujar Adibah, dia sepatutnya lebih menghormati roh dan melodi asal serta kemanisan lagu tersebut meskipun diolah dalam versi dikir barat.
Namun begitu, Adibah berkata tidak menjadi satu kesalahan jika lagu tersebut diubah susunan muzik namun perlulah dikekalkan kemanisannya.
Selepas mendengar kembali saya mula rasa salah terhadap interpretasi dan nyanyian pada malam tersebut. Kenapa tidak kekalkan kemanisan lagu itu walau dalam versi dikir barat?
Saya sepatutnya menghormati roh dan melodi lagu asal. Jika saya kekalkan kemanisan pasti tidak akan tersasar jauh. Seperti mana saya bawakan lagu Jika dalam versi keroncong.
Terdahulu, Adibah telah memperoleh markah tiga tercorot iaitu 56.7 peratus pada konsert minggu ke-7.
Juri tetap yang juga penyanyi asal lagu tersebut, Hetty Koes Endang berkata bahawa perubahan yang dilakukan Adibah iaitu menyuntik elemen tradisional adalah kurang sesuai.
Adibah walau bagaimanapun menerima kritikan itu dengan hati terbuka dan akan lebih fokus untuk persembahan suku akhir pada Ahad ini.
Katanya lagi, dia pasti akan memberi reaksi yang sama jika lagu nyanyiannya telah ‘dihancurkan’ oleh penyanyi lain.
“Selepas ini saya akan lebih berhatu-hati dan tidak akan mengubah susunan. Cukuplah melakukan eksperimen sebelum ini. Ada yang bejaya dan ada yang tidak.” katanya lagi.