Pelakon Aaron Aziz tidak menafikan bahawa filem gangsterisme tempatan antara faktor yang turut menyumbang ke arah peningkatan gejala buli di peringkat sekolah.
Bagaimanapun, aktor berusia 49 tahun itu menolak dakwaan bahawa filem sebegitu adalah pengaruh utama kes buli yang seperti tiadak noktahnya.
Kata Aaron, banyak lagi filem lain yang berkaitan kongsi gelap, samseng atau keganasan yang tiada tapisan mudah diakses golongan muda di platform media sosial.
Saya tidak nafikan filem gengster mungkin antara puncanya. Sewaktu KL Gangster ditayangkan, memang ada ibu bapa hubungi saya meminta nasihatkan anak mereka yang terpengaruh dengan babak aksi.

Ujar Aaron, ketika itu dia ada mengingatkan ibu bapa tersebut secara baik namun memberitahu bahawa bukan filem sahaja menjadi punca tetapi juga faktor lain termasuklah Youtube.
Begitupun, pokok pangkalnya adalah kawalan kendiri. Setiap paparan penonton perlu menilai selain melihat mesej yang diketengahkan.

Gambar hiasan
Dalam pada itu, watak utama filem KL Gangster itu mendedahkan pernah membantu beberapa mangsa buli yang menghadapi masalah emosi.
Ada ibu bapa hubungi saya minta bantuan. Kita tolong setakat termampu dengan berjumpa pelajar terbabit yang menjadi mangsa buli, dengar masalahnya dan bagi nasihat.
Malah, kata Aaron dia pernah ke sekolah mangsa buli dan memaklumkan kepada pembuli bahawa itu merupakan ‘anak buahnya’ meskipun sebenarnya anak kawan.
Terdahulu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan terdapat 7,681 kes buli sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah direkodkan sepanjang tahun 2024.