Tak Berpuas Hati Dengan Keputusan UPSR , Ibu Bapa Dibenar Buat Rayuan Semak Semula Kertas Peperiksaan

Trending

Tak Berpuas Hati Dengan Keputusan UPSR , Ibu Bapa Dibenar Buat Rayuan Semak Semula Kertas Peperiksaan

Pada ibu bapa calon yang tidak berpuas hati dengan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (USPR) anak mereka, dibenarkan untuk membuat rayuan semakan semula kertas peperiksaan, kata Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM).

Advertisement

Pengarah LPM Datin Nawal Salleh berkata, rayuan semakan telah pun dibuka sejak semalam dan boleh dibuat dalam tempoh sebulan dan menurutnya setakat ini LPM menerima 20 permohonan dan jumlah itu dijangka meningkat.

“Permohonan boleh dibuat melalui sekolah dan borang rayuan boleh dimuat turun melalui laman sesawang Lembaga Peperiksaan (lp.moe.gov.my) dan dipos semula kepada pihak kami.

“Bayaran sebanyak RM50 akan dikenakan bagi setiap mata pelajaran yang ingin disemak,” katanya dalam sidang media.

Sidang media itu diadakan untuk memberi penjelasan lanjut mengenai keputusan UPSR 2016 yang diumumkan semalam selepas terdapat ibu bapa calon peperiksaan itu menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap format baharu peperiksaan itu.

Calon tahun ini merupakan kohort pertama yang menduduki peperiksaan itu di bawah format baharu UPSR sejajar pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang turut menekankan unsur-unsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

Mengulas mengenai bayaran RM50 itu, Nawal berkata ini kerana semakan semula melibatkan beberapa proses rumit antaranya mencari transkrip peperiksaan calon dan melantik semula pemeriksa.

Ibu bapa perlu tahu bahawa dalam format baharu UPSR, soalan yang diajukan adalah bagi melihat sama ada murid-murid boleh mempamerkan kemahiran berfikir atau tidak, kata beliau lagi.

KBAT merupakan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) untuk melahirkan modal insan yang berkualiti untuk dijadikan pemimpin masa hadapan serta mempunyai kemahiran berfikir.

“Oleh itu, Lembaga Peperiksaan membuat keputusan untuk memasukkan elemen kemahiran berfikir di dalam soalan-soalan peperiksaan (sejak 2011), yang bukan hanya tertumpu kepada UPSR, tetapi juga dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

“Soalan-soalan yang disediakan itu berpaksikan dalam melahirkan modal insan berkualiti berteraskan kepada empat aspek iaitu jasmani, emosi, rohani dan intelek,” katanya dan menjelaskan format peperiksaan UPSR telah tidak berubah hampir 10 tahun.

Nawal berkata UPSR menjadi polemik kerana masyarakat hanya mahu melihat beberapa banyak A diperolehi anak mereka dan menurutnya peperiksaan bukan sekadar untuk menilai A yang diperolehi pelajar tetapi kecemerlangan daripada semua aspek.

Ditanya mengenai kebimbangan ibu bapa sekiranya anak mereka tidak dapat masuk ke sekolah berasrama penuh berikutan tidak memperoleh keputusan semua A, beliau berkata kriteria pemilihan memasuki sekolah itu akan disesuaikan dengan keputusan.

Dalam pada itu, Nawal turut menasihati guru agar menggunakan data seseorang murid untuk memberi tumpuan bagaimana untuk meningkatkan tahap kemahiran murid.

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...