Sebelum ini, ada beberapa orang pelakon dalam industri seni tampil mengutarakan kekesalan kerana sering saja ditolak tawaran berlakon disebabkan oleh kekurangan pengikut di media sosial seperti Instagram.
Kali ini, aktor Mustaqim Bahadon telah berkongsi pengalaman sama yang berlaku pada dirinya.
Menurut Mustaqim, perkara itu sering terjadi sepanjang penglibatannya dalam dunia seni namun dia masih bersangka baik dan menerima saja apa keputusan yang dibuat oleh pihak televisyen.
Dalam pada masa yang sama, dia turut mempersoalkan jika benar jumlah pengikut laman sosial itu mempengaruhi kualiti sesebuah naskah lakonan.
“Ditolak stesen TV sebab followers kurang? Dah biasa dan kerap terjadi. Tapi saya bersangka baik dan terima. Walaupun jauh di dalam hati kecil ni rasa hampa dan tertanya-tanya betul ke followers ramai ni boleh buat sesuatu naskah tu meletup di kaca TV? Mungkin dari segi pemasaran ada betulnya. Bagi saya selagi boleh ambil peluang, buat saja tak kisah watak apa ditawarkan. Saya terima saja walaupun cuma satu dua babak dalam sesuatu cerita,”
Mustaqim juga memberitahu, dia kini bersyukur dengan apa yang ada dan punca rezekinya kini bukan sahaja pada bidang lakonan, sebaliknya dia aktif berniaga pelbagai produk dalam menampung hidup sehari-hari.
Dia turut menjelaskan bahawa dia tidak ambil hati dengan kata-kata orang meskipun berniaga banyak barang dalam mencari duit poket. Menurutnya, selagi sesuatu benda itu ada mendatangkan pendapatan untuk dirinya, dia hanya melakukan kerana rezeki daripada Allah itu sangat luas.
Sumber : mStar Online