Semalam kecoh di serata media sosial apabila model dan juga pelakon Alicia Amin telah menerima hencapan netizen dek penampilannya yang tidak sesuai ketika memasak.
Kalau menyediakan makanan untuk diri sendiri pasti tidak akan menjadi isu tetapi oleh kerana wanita itu memasak rendang tok untuk pelanggan setianya, ramai yang mempersoalkan tahap kebersihan Alicia Amin dalam proses penyediaan makanan.
Seperti yang kita tahu, bisnes penyediaan makanan ini adalah sesuatu yang sangat penting kerana silap sedikit sahaja akan membawa padah kepada sesiapa yang mengambilnya. Sedangkan banyak kes keracunan makanan yang dilaporkan kini, jadi ramai yang risau.
Terkesan dengan kritikan negatif netizen terhadap ‘Rendang Tok Raja Lapar’ yang dimasak olehnya, Alicia Amin telah memuat naik satu entri di Instagram bisnes tersebut.
Menurut wanita tinggi lampai itu, dia pernah bekerja dalam industri makanan dan minuman sebelum ini jadinya tidak perlu risau mengenai isu suntikan typhoid. Malahan dia akan menyemak bila tarikh luput kepada suntikan tersebut.
Bagi isu sarung tangan, penutup kepala dan apron pula, Alicia Amin mengakui bahawa dia terlepas pandang mengenai perkara penting tersebut. Melihatkan ramai penjual makanan di bazar dan tepi jalan yang tidak mematuhi peraturan ini membuatkan dia alpa.
Pun begitu, wanita itu menjelaskan bahawa dia berasa tidak adil kerana ada yang menjatuhkan hukum dan mempertikaikan kenapa dia menjual juadah Melayu sedangkan ramai juga bangsa lain yang menyukai rendang.
Bahkan Alicia Amin hanya akan menerima teguran berkaitan dengan risiko kebersihan, kualiti bahan yang digunakan, soalan mengenai penghantaran ataupun rasa rendang sahaja. Isu mengenai perkara lain bukanlah di bawah tanggungjawabnya.
Harap teguran ini akan membantu Alicia Amin untuk memberikan penekanan kepada penyediaan makanan yang lebih teratur dan bersih.