Tahniah buat Black dan isterinya, Cira atas kelahiran cahaya mata lelaki pada jam 7.48 malam semalam. Walaupun dilahirkan sebulan lebih awal daripada yang dijangkakan, pengarang hati buah jantung Black ini dilahirkan secara normal dengan berat 2.09 kilogram. Tahniah Black dan Cira.
Black turut sama berkongsi detik-detik kelahiran anaknya yang lahir tidak cukup bulan ini. Kata Black:-
Alhamdulillah isteri saya sihat. Begitu juga dengan anak saya. Walau bagaimanapun kini anak saya masih ditempatkan di wad NICU yang dikhaskan untuk kanak-kanak baru lahir. Wad tersebut bukanlah untuk kanak-kanak yang kritikal.
Anak saya perlu ditempatkan di situ kerana dia lahir tidak cukup bulan dan perlu mendapatkan sedikit lagi antibiotik tambahan untuk mengelakkan dia terkena apa-apa jangkitan.
Tetapi kini Alhamdulillah kerana dia sudah boleh minum susu dan jika tidak ada apa-apa dalam sehari dua lagi anak dan isteri saya sudah dibenarkan keluar.
Air ketuban isteri saya pecah awal kerana terkena jangkitan. Dia sakit dalam dua hari juga. Selepas dua hari, petang semalam barulah rahimnya terbuka. Ketika lahir anak saya tidak menangis dan memberikan respon walaupun ditepuk.
Hampir 10 minit jugalah doktor yang bertugas berusaha. Ketika itu, saya rasa sangat resah dan 10 minit kemudian barulah terdengar tangisannya. Saya tergamam hingga tidak mampu berkata apa-apa.
Saya rasa terlalu teruja sehinggakan tidak berselera untuk makan. Manakan tidaknya, sekejap-sekejap saya akan menjenguk isteri, sekejap-sekejap saya akan menjenguk anak.
Alhamdulillah semuanya berjalan lancar buat Black dan isteri. Semoga si comel membesar dengan sihat dan sempurna. Insya Allah tak ada apa-apa komplikasi walaupun lahir tidak cukup bulan. Sama-samalah kita doakan. Selamat menjadi ayah dan ibu diucapkan kepada Black dan isteri. Sumber Media Hiburan.