Penyanyi, Usop Mentor kini sah bergelar suami kepada wanita pilihan hatinya, Nur Fatihah Md Hashim, dalam majlis pernikahan di Pejabat Agama Daerah Butterworth, Kompleks Darul Hidayah, Permatang Tok Gelam, Pulau Pinang, jam 10 pagi, hari ini.
Usop atau nama sebenarnya Muhammad Saiful Naim Muhammad Noor berkata dia berharap peminat serta orang ramai yang mengenalinya dapat mendoakan kebahagiaannya dengan Nur Fatihah sehingga akhir hayat.
Pasangan itu dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah Butterworth, Pulau Pinang, Ustaz Harun Idris bersaksikan bapa Nur Fatihah, Md Hashim Nordin dan bapa Usop iaitu Muhammad Noor Ismail.
Saya ingin menjadi suami yang terbaik buat Fatihah. Ini adalah janji saya kepada keluarga.
Menurut Usop, walaupun usianya boleh dikatakan masih muda, tetapi dia berharap dapat membimbing dan memegang tanggungjawab sebagai suami dengan sebaik mungkin.
Saya dan isteri tak terburu-buru untuk menimang cahaya mata. Kami serahkan kepada rezeki. Saya percaya masa yang tepat akan tiba.
Usop menyerahkan mas kahwin sebanyak RM3,000 dan seutas gelang emas buat Fatihah, serta menyerahkan tujuh dulang hantaran kepada pihak perempuan dan dibalas sembilan dulang.
Terdahulu, Usop dan Fatihah telah bertunang pada 4 November tahun lalu selepas dua tahun berkenalan.