Vokalis kumpulan Bunkface, Sam tampil mendedahkan bahawa dirinya kini telah selamat berkahwin dengan gadis pilihan hatinya, Puteri Eifa Ezrin Mohd Kushairi selepas hampir dua tahun menjalani kehidupan sebagai seorang duda.
Perkara itu dikongsi sendiri olehnya menerusi sebuah posting yang dimuat naik di laman Instagramnya semalam.
“Salam Jumaat semua. Di sini Sam ingin kongsi yang Sam sudah menikahi Puteri Eifa Ezrin binti Mohd Kushairi. Doakan yang baik-baik untuk kami. Alhamdulillah.”
Menjengah ke ruangan komen, entri yang memaparkan foto suami isteri itu disambut baik oleh rakan-rakan artis dan peminat yang tidak terlepas mendoakan agar perkahwinan mereka kekal buat hingga ke akhir hayat.
Terdahulu, Sam sebelum ini pernah berkahwin dengan penerbit rancangan, Aida Azira Hussin, pada 25 April 2015, namun memutuskan untuk bercerai pada hujung Januari 2019. Hasil perkahwinan itu, abang kepada aktres Siti Saleha ini bersama bekas isterinya selamat dikurniakan seorang anak lelaki bernama Maleeq.