Sempena sambutan ulang tahun kelahiran ke-71 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam, suami kepada usahawan kosmetik popular, Rita Sosilawati iaitu Khamarulazlan Mohamad Hanafiah kini dianugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka (D.M.S.M) yang membawa Datuk.
Ia sekali gus membuatkan Rita yang merupakan anak kepada jutawan kosmetik Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya itu kini bergelar Datin.
Berita gembira itu dikongsikan sendiri olehnya menerusi sebuah posting yang dimuat naik di laman Instagramnya semalam.
“Tahniah sayang di atas penganugerahan Darjah Mulia Seri Melaka (D.M.S.M) susah senang bersama membuatkan kita lebih kuat daripada sebelum ini, saya sangat bangga dengan pencapaian kamu sayang.”
Dalam pada itu, Rita juga tidak ketinggalan memuat naik sebuah video yang menyaksikan majlis istiadat penganugerahan itu berlangsung.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengikutnya dilihat tumpang gembira dengan perkara tersebut, malah tidak lupa menzahirkan ucapan tahniah buat pasangan itu.
Untuk rekod, Rita merupakan anak sulung kepada pengasas kosmetik Nouvelles Visages (NV), Sosilawati yang mati dibunuh dalam satu insiden pembunuhan terancang pada Ogos 2010.