Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Itulah yang terjadi kepada seorang pemuda berusia 21 tahun ini kerana memenangi cabutan istimewa BSN SSP yang membawa pulang simpanan tunai bernilai RM1 juta. Wow, ibarat durian runtuh.
BSN dalam satu kenyataan hari ini berkata, pemuda yang berasal dari Kelantan itu memenangi Cabutan Istimewa BSN SSP pertama bagi 2021 adalah pemenang termuda sejak ganjaran RM1 juta diperkenalkan pada 2014.
Buat kali pertama pada tahun ini, BSN turut mengumumkan seramai 13 orang pemenang bagi Cabutan Tempatan yang membawa pulang sebuah kereta Perodua Myvi 1.5 Auto.
Cabutan itu diadakan pada bulan Februari, Mei, Ogos dan November 2021 serta terbuka kepada penyimpan yang mempunyai BSN SSP dengan simpanan minimum RM100.

Gambar Hiasan
Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil, berkata beliau berharap agar rakyat Malaysia terus menyimpan bersama BSN SSP yang juga adalah produk simpanan unik patuh Syariah.