Baru sahaja menamatkan zaman duda selama empat bulan nampaknya rezeki sudah tertulis buat pelakon dan pengarah Zul Huzaimy yang bakal bergelar bapa sekali lagi apabila isterinya Nur Ernawati disahkan hamil dua bulan. Tidak pernah merancang, Zul dan isteri bersyukur kerana menerima cahaya mata awal.
Terima kasih, syukur Alhamdulillah takdir kami suami isteri diberi peluang menimang cahaya mata dalam masa singkat apabila Erna (nama panggilan isteri Zul) disahkan hamil dua bulan.
Namun, sejujurnya memang kami tidak merancang apa-apa. Ini semua rezeki dan saya semestinya amat gembira kerana anak merupakan harta paling bernilai di atas dunia. Orang tidak akan bertanya sebanyak mana duit di dalam bank, sebaliknya akan bercerita berapa ramai anak yang kita ada (ketawa).
Pada peringkat awal kehamilan, Erna mengalami alahan yang agak teruk. Walaubagaimanapun, alahan tersebut sudah berkurangan tetapi beliau masih lagi ingin melakukan kerja-kerja di rumah.
Buat masa ini, Zul telah melarang isterinya untuk melakukan sebarang pekerjaan berat agar ia tidak membahayakan kandungan didalam perut.
Ketika mula-mula disahkan hamil, dia memang mengalami alahan yang teruk seperti muntah-muntah dan pening kepala. Bagaimanapun, sekarang alahannya semakin berkurangan, cuma dia gemar membuat kerja rumah sendiri.
Sewaktu kami baru berpindah rumah, dia mengangkat barang-barang seorang diri tanpa bantuan. Sekarang, saya memang melarang dia membuat kerja-kerja berat demi keselamatan kandungan dan dirinya.
Pasangan Zul Huzaimy dan Nur Ernawati telah mendirikan rumah tangga pada 20 Februari 2015. Ini merupakan anak pertama Zul bersama Erna, sebelum ini Zul telah dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Awal Haziq, 9, hasil pernikahan pertamanya.
Alhamdullillah, syukur kepada Tuhan kerana mengurniakan rezeki terindah buat mereka. Semoga ibu dan kandungan juga berada dalam keadaan sihat selalu.