Mengumumkan isterinya, Nurida Suraya telah selamat melahirkan bayi perempuan, Pereka fesyen terkenal dan pemilik jenama Rizman Ruzaini, Rizman Nordin tampil berkongsi berita gembira tersebut diumumkan Rizman menerusi sebuah posting yang dimuat naik di laman sosial Instagramnya kira-kira pukul 11 pagi tadi.
Dalam pada itu Rizman turut mendedahkan nama anak sulung mereka iaitu Rizqaa yang membawa maksud rezeki dan kurniaan Allah SWT.
“Bismillahirahmanirahhim…Dengan nama Allah yang maha permurah lagi maha penyayang pemilik sekian alam. Alhamdulillah, telah lahir insan yang di nanti…Princess Rizqaa.”
Ujar Rizman lagi, beliau juga turut menitip pesanan agar anak perempuannya itu menjadi anak yang solehah serta mempunyai akhlak yang baik disamping menurut perintah ibu bapa.
“Semoga Rizqaa menjadi anak yang solehah, yang menjaga akhlak, yang menurut perintah ibu bapa, yang menjadi kebanggaan agama dan InshaAllah yang akan menghuni syurga Allah yang abadi.”
Seperti sudah dijangka, menjengah ke ruangan komen posting tersebut, entri terbabit dihujani ucapan tahniah di atas khabar baik tersebut. Selain mendoakan agar segala urusan membesarkan zuriat tersebut dipermudahkan, rata-rata pengikutnya memuji kecomelan bayi berkenaan.
Sekadar informasi, Rizman dan ahli perniagaan Nurida Suraya telah sah bergelar suami isteri pada 13 September 2019. Untuk rekod, pasangan ini telah mendedahkan mereka bakal menimang cahaya mata perempuan pada Ramadan lalu. Pengumuman itu juga dibuat menerusi satu posting yang dimuat naik di laman Instagram milik Rizman sambil memaparkan dekorasi bilik tidur puterinya itu yang penuh dengan anak patung.