Bekas juara program realiti AF Megastar 2017, penyanyi Idayu berkongsikan sebuah berita gembira apabila dia kini disahkan hamil lima bulan selepas menantikan kehadiran cahaya mata selama hampir enam tahun.
Idayu atau nama sebenarnya Nur Farah Idayu Yaakob berserta suaminya Shahrul Fadzil meluahkan rasa syukur atas nikmat dan rezeki yang diberikan Allah kepada mereka berdua.
Dia dalam pada itu turut memohon doa daripada orang ramai agar mendoakan bayi dalam kandungannya dikurniakan kesihatan yang baik sehinggalah dilahirkan kelak.
“Syukur alhamdulillah Idayu dan suami ingin membuat pengumuman rasmi tentang kehamilan saya yang kini berusia lebih lima bulan setelah melayari perkahwinan selama lebih enam tahun. Saya sangat bersyukur dengan nikmat yang Allah S.W.T berikan kepada kami berdua. Kami sentiasa yakin dengan peraturan Allah S.W.T dan inilah waktu yang paling tepat. Kami akan sentiasa mensyukuri setiap detik dalam fasa ini dan hari-hari mendatang.”
Dia dilihat telah berkongsikan perkara itu menerusi akaun Instagramnnya sambil memaparkan ‘baby bump’ di perut.
Meninjau ruangan komen, ramai rakan artis dan juga peminat tampil mengucapkan tahniah dan mendoakan yang terbaik buat mereka sekeluarga.
Idayu yang dijangka bakal melahirkan cahaya mata sulungnya itu pada Mei ini turut mengucapkan terima kasih kepada mereka di luar sana yang telah membantunya sepanjang tempoh kehamilan. Dia dalam pada itu turut memberi kata semangat buat mereka yang masih berusaha untuk mendapatkan cahaya mata agar terus mencuba dan jangan mudah putus asa.
Sekadar info, Idayu dan Shahrul Fadzil telah mendirikan rumah tangga pada Mei 2014 yang lalu.