Masih belum terlambat untuk kami ucapkan tahniah kepada pelakon, Datuk Jalaluddin Hassan yang sudah selamat diijabkabulkan dengan pilihan hatinya, Rapidah Abdul Ghani pada jam 10.55 pagi semalam di Masjid Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Kuala Lumpur.
Dalam majlis pernikahan yang sederhana itu, Rapidah menerima lima dulang hantaran termasuk sebuah kerusi urut yang berharga RM20,000 daripada pihak pengantin lelaki dan ia dibalas tujuh dulang hantaran. Jalaluddin turut menyerahkan mas kahwin RM300 kepada Rapidah tetapi pasangan ini merahsiakan jumlah wang hantaran.
Pasangan pengantin baru ini ketika ditemui pihak media meluahkan rasa syukur kerana majlis pernikahan berjalan dengan lancar.
Alhamdulillah majlis yang dirancang berjalan dengan baik dan dapat diraikan bersama keluarga dan sahabat handai. Doakan kebahagiaan kami agar perkahwinan yang dibina berkekalan sehingga akhir hayat.
Jalaluddin sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan Datin Hashimah Mad Ehsan selama 40 tahun sebelum allahyarhamah meninggal dunia pada 5 November 2016. Rapidah merupakan seorang ibu tunggal dan mempunyai empat orang anak hasil daripada perkahwinan terdahulu.