Pelakon popular, Anna Jobling sekali lagi mengharumkan nama Malaysia apabila tercalon dalam kategori Outstanding Asian Star – Malaysia di Seoul International Drama Awards (SDA) 2025 yang bakal berlangsung pada 2 Oktober depan di Korea Selatan.
Anna, 25, dicalonkan menerusi drama Hai Cinta, Dengarkanlah di mana beliau membawakan watak Cahaya, seorang wanita yang kehilangan suami pada hari ulang tahun perkahwinan mereka sambil menanti kelahiran anak pertama.
“Saya benar-benar terkejut dan terharu dengan pencalonan ini. Ini merupakan satu penghormatan besar bukan sahaja untuk saya, tetapi juga untuk seluruh pasukan produksi Hai Cinta, Dengarkanlah.”
“Sokongan daripada keluarga, rakan-rakan sepasukan, dan para peminat sentiasa menjadi sumber inspirasi saya. Saya berharap dapat membawa pulang kemenangan ini untuk Malaysia!” katanya.
Tambah Anna lagi, pencalonan tersebut bukan sahaja satu penghargaan peribadi, tetapi juga kebanggaan buat Malaysia dan TV3 yang sentiasa menyokong karya seni tempatan.
Anna kini dianggap antara pelakon muda paling berpengaruh di Malaysia selepas membintangi beberapa drama hit serta meraih pelbagai anugerah. Pencalonan di SDA 2025 sekali gus membuka peluang untuk kariernya terus berkembang ke peringkat antarabangsa.
Untuk rekod, Seoul International Drama Awards merupakan antara anugerah drama paling berprestij di Asia, di mana pemenang kategori ditentukan melalui undian peminat global menerusi aplikasi IDOL CHAMP. Tahun lalu, Malaysia mencatat sejarah apabila pelakon Siti Saleha berjaya membawa pulang kemenangan dalam kategori sama.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.