Melalui laporan Sinar Harian, Indeks Kebahagian Ipsos 2025 mengatakan Malaysia telah mencatat tahap kebahagiaan yang lebih tinggi jika hendak dibandingkan dengan purata global, bahkan mengatasi beberapa negara Asia yang lain.
Rakyat Malaysia kebanyakannya mempunyai pemikiran positif
Difahamkan, sebanyak 77 peratus rakyat Malaysia berada di tahap gembira serta mengatasi tahap purata global sebanyak 71 peratus, sekaligus menunjukkan rakyat di negara ini mempunyai pemikiran yang positif terhadap kehidupan.
Rakyat Malaysia menganggap penghargaan dan keluarga sebagai sumber utama kebahagiaan, sama seperti pandangan purata global. Ini membuktikan kasih sayang dan penghargaan adalah nilai sejagat manakala keluarga penting dalam kehidupan setiap manusia.
Dalam pada itu, negara rantau yang lain seperti Indonesia, India dan Thailand turut mencatat tahap kegembiraan lebih tinggi berbanding negara maju lain iaitu Korea Selatan dan Jepun.
Kebimbangan utama: kewangan, perumahan & kehidupan, pekerjaan
Dari segi keyakinan pula, rakyat Malaysia yakin bahawa kehidupan akan bertambah baik yang juga lebih tinggi dari purata global.
Biarpun Indeks Kebahagian Ipsos itu menunjukkan Malaysia mencatat tahap bahagia yang tinggi tetapi data tersebut turut memaparkan kebimbangan utama yang dialami oleh rakyat iaitu kestabilan kewangan, keadaan perumahan atau kehidupan serta keterjaminan pekerjaan.
Rakyat Malaysia juga amat prihatin dengan keadaan hidup dan pekerjaan mereka. Ini mungkin mencerminkan cabaran signifikan yang mereka hadapi susulan persekitaran hidup dan budaya kerja tempatan.