Written by Bella | April 15th, 2019

Kontroversi lelaki berpakaian wanita seksi dan menari lucah di perkahwinan Ahya Rosli sehingga hari ini masih lagi hangat diperkatakan. Ramai yang tidak boleh terima apabila majlis perkahwinan dicemari dengan aksi ghairah yang bertentangan dengan agama Islam dan adat Melayu.

Turut teruk dikritik ialah pelakon Normah Damanhuri, beliau akui sedih dengan komen netizen apatah lagi ada yang mempersoalkan cara beliau mendidik anak-anaknya.

Saya tak tahu nak cakap apa. Orang selalu nampak saya membiarkan apa sahaja anak buat. Tetapi sebagai ibu, semestinya saya menegur mereka tanpa henti jika ada salah silap pada pandangan mata saya. Takkan saya nak biarkan sahaja? Benda yang tidak elok saya tak sokong, begitulah juga sebaliknya. Masing-masing sudah besar.

Sesetengah komen mereka membuatkan saya sedih. Ada yang mengatakan, apabila kena hentam barulah nak minta maaf. Ada juga yang menganggap saya menyokong perkara ini dan saya jugalah yang merakamkan videonya. Saya tak faham kenapa mereka suka membuat tuduhan sebarangan?

Terdahulu, gara-gara aksi tarian lucah itu, netizen melancarkan kempen Boikot Keluarga Normah Damanhuri. Susulan itu, Norman menerusi sebuah video di Instagram membuat permohonan maaf secara terbuka dan mengakui persembahan itu akan mengundang rasa kurang senang netizen sehingga keluarganya dikecam.

Sumber Berita : BH ONLINE