September 9th, 2016

Umum mengetahui pelakon Nabila Huda baru-baru ini menerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke 28 selepas 16 tahun berkecimpung didalam dunia lakonan.

Meskipun sudah mendapat anugerah yang cukup hebat, Abil bagaimanapun memberitahu beliau tidak akan meminta bayaran yang tinggi dan lebih mementingkan skrip yang berkualiti ketika ditawarkan untuk berlakon.

Tidak (naik). Mereka yang kenal saya tahu macam mana. Saya tidak akan memandang pada kewangan atau apa-apa pendapatan untuk menjadi seorang yang kaya.

Saya percaya pada skrip yang bagus sahaja. Walaupun mereka layan saya teruk, saya tidak kisah kerana penerbit tahu apa kadar saya. Saya tidak perlu beritahu mereka berapa mereka perlu bayar saya. Saya tahu kebolehan saya sebagai pelakon dari awal sehinggalah ke hari ini.

Berbicara mengenai watak yang membuatkan beliau memenangi anugerah berkenaan, Abil akui bukan mudah untuk membawa watak Maria didalam filem Munafik kerana beliau jarang berlakon filem dan harus memberikan seluruh tenaganya untuk watak tersebut.

Saya walaupun sudah lama dalam industri tetapi saya tidak banyak berlakon filem. Bukan senang membawakan watak Maria, sebab satu babak pun penggambaran hampir tiga hari. Dengan tenaga yang penuh, perasaan saya berikan 110 peratus.

Pada kebiasaannya, artis yang sudah memenangi anugerah hebat pasti akan demand bayaran lebih tinggi bukan? Tapi Abil nampaknya seorang artis yang lebih ghairah didalam kerja yang beliau lakukan dan ingin memberikan yang terbaik dan tidak mengejar kekayaan.

Sumber Berita : THE MALAY MAIL ONLINE

September 5th, 2016

Kemenangan Nabila Huda sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada acara Festival Filem Malaysia ke 28 adalah perkara yang paling beliau nantikan sejak bergelar anak seni.

Menurut Nabila yang mesra disapa Abil, beliau mendedikasikan kemenangannya itu kepada bapanya  iaitu penyanyi rock terkenal Amy Search.

Kejayaan ini saya dedikasikan untuk papa saya serta keluarga kerana selama berada dalam industri sejak berusia 16 tahun banyak tindakan yang kurang matang saya lakukan.

Saya mahu papa berasa bangga dengan kejayaan saya ini dan ia adalah hadiah istimewa dari saya buatnya.

Abil akui beliau sebenarnya tidak pernah mengjangkakan beliau akan menang kerana bersaing dengan calon-calon yang tidak kurang hebatnya.

Saya langsung tidak jangka akan menang kerana saingan terlalu sengit terutama daripada pelakon-pelakon yang sudah biasa berlakon filem.

Saya tidak banyak berlakon filem dan kemenangan ini juga yang pertama buat saya, sebelum ini saya hanya menang Pelakon Pembantu Terbaik di Anugerah Skrin menerusi drama Akulah Balqis.

Pada masa yang sama, Abil meluahkan rasa syukur kerana selalu diberikan watak yang dapat meninggalkan kesan didalam hati penonton.

Terus terang kami katakan, Abil memang layak untuk memenangi anugerah berkenaan. Lakonan Abil tidak pernah mengecewakan penonton. Kata orang, berilah apa sahaja watak kepadanya pasti Abil akan berjaya “menghidupkan” watak itu dengan baik.

Sumber Berita : mStar Online