Kisah perkahwinan kontroversi antara pemenang program Da’i Pendakwah Milenia 2014 anjuran TV3 iaitu Nik Ahmad Farhan dengan seorang wanita bernama Noorainul Naqim Mohd Radzi terus hangat diperkatakan. Ini kerana Farhan memberitahu mengahwini wanita yang mendakwa mempunyai lapan anak itu beberapa bulan lalu di Makkah.
Menjawab persoalan-persoalan warganet yang menghentamnya kerana mengahwini wanita itu saat isteri pertamanya sarat hamil anak kedua mereka, Farhan memberitahu perkahwinannya dengan Noorainul sudah tertulis di Lauh Mahfuz dan tiada daya untuk menolak takdir.
Noorainul mendakwa seorang doktor pakar neurologi dan dalam temubual dengan Astro Gempak, Farhan merujuk kepada Noorainul sebagai ‘doktor’.
Ceraikan isteri pertama
Bagaimanapun, seorang pengguna Facebook, Ches Al-Maliki yang merupakan rakan kepada isteri pertama Farhan iaitu Fatin, memberitahu bahawa Farhan telah menceraikan isteri pertamanya kerana tidak dapat menerima isteri keduanya.
Ches juga mendakwa Farhan telah mencederakan dan mengurung isterinya kerana tidak dapat menerima keputusan lelaki itu mengahwini Noorainul Naqim.