July 30th, 2013

Bersempena Festival Ramadan 2013, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Ikim.FM dan Nasional.FM menganjurkan Pertandingan Cipta Lagu Nasyid dan Pertandingan Cipta Lagu Raya. Lagu-lagu yang telah dihantar untuk penyertaan telah disaring dan hanya 16 lagu telah layak ke peringkat akhir untuk Pertandingan Lagu Nasyid manakala 12 lagu telah layak ke peringkat akhir bagi Pertandingan Cipta Lagu Raya.

Lagu-lagu nasyid dan raya telah menjadi sebahagian dari budaya masyarakat negara ini. Pertandingan ini ialah salah satu usaha yang dijalankan oleh JKKN untuk memperkembangkan dan memperbanyakkan jumlah lagu nasyid dan raya yang berkualiti agar tidak terlalu bergantung pada lagu-lagu nasyid dan raya yang lama sahaja.

Sehubungan itu, kerjasama pada pembaca BeautifulNara.com adalah dipohon untuk mengundi lagu-lagu nasyid dan raya ciptaan baru ini bagi menentukan lagu manakah yang paling terbaik dan layak menjadi juara. Cara-cara mengundi lagu-lagu ini diterangkan dengan sepenuhnya melalui poster-poster di bawah. Untuk besarkan poster, sila klik poster tersebut:-


Nota: Mulai Isnin 29/7/13, tiga (3) buah lagu telah tersingkir kerana mendapat undian terendah iaitu :

1) Harus Tabah,
2) Islam Yang Syumul, dan
3) Pujian UntukMu

Mohon kerjasama anda untuk tidak mengundi lagu-lagu tersebut.


Untuk makluman anda, tarikh tutup undian bagi kedua-dua pertandingan ialah 18 Ogos 2013. Jadi apa lagi, mainkan peranan anda dalam membantu kesinambungan seni dan budaya di Malaysia.

Untuk makluman anda jua, juara bagi kedua-dua pertandingan akan mendapat hadiah wang tunai RM 10,000 manakala lima lagi akan mendapat hadiah saguhati sebanyak RM 1,000 setiap seorang.

Setiap undian dicaj hanya RM 0.50. Mudah saja kan? Jom mengundi!

October 8th, 2012

Fenomena ’Oppa Gangnam Style’ menggegarkan dunia apabila persembahan gerak tari yang diolah daripada gerakan menaiki kuda dan gaya hidup masyarakat Korea di bandar Gangnam menjadi inspirasi kepada penghibur Korea yang tersohor Psy. Psy telah mencetuskan fenomena tersebut sekelip mata apabila videonya yang dimuatkan di laman You Tube mencecah angka 90 juta penonton.

Menyedari hakikat itu, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) mengajak semua masyarakat Malaysia yang meminati seni tari untuk menyaksikan Inspitari yang telah dimulakan sejak 2009 yang lalu pada 12 dan 13 Oktober ini bagi memberi peluang serta maklum balas positif hasil olahan karyawan tari dari 15 buah Kumpulan Kesenian JKKN dari seluruh negara. Meskipun olahan ini mungkin dilihat masih ’raw’ dan memerlukan banyak sentuhan dan gilapan semula, namun apa yang penting ialah maklum balas yang baik memungkinkan olahan tersebut boleh dipopularkan oleh penggiat tari dan industri hiburan negara ke peringkat global. Siapa sangka, kemungkinan gerakan ’ayam didik’ yang merupakan antara khazanah tari negara boleh diberikan sentuhan baru dengan olahan muzik yang kontemporari mampu meledakkan gerakan ’ala Malaysia’ ke peringkat antarabangsa.

Persembahan Inspitari memaparkan elemen Malaysia dan olahan semula gerak tari Malam Gala Inspitari kembali lagi pada 12 dan 13 Oktober ini di Auditorium DBKL, Jalan Raja Laut. Ia sebagai manifestasi lanjutan ke arah pembangunan industri kreatif yang mampu memperkasakan Seni Budaya Negara. Inspitari yang memperkenalkan tema Pencarian Tari Kreasi Baru, merupakan satu garapan daya cipta dan kreativiti ditampilkan dalam simbolik persembahan tarian ciptaan baru berasaskan imej dan identiti setiap negeri di Malaysia serta keunikan masyarakat Malaysia yang cuba dikupas oleh Kumpulan Kesenian JKKN seluruh Negara menerusi olahan tari.

Program kesinambungan anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia (KPKK) menyaksikan acara anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) ini kali ini mendapat kerjasama Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menjadi saksi utama, satu lagi sejarah seni tari bakal terukir dengan penampilan karya tari kreasi baru yang boleh dijadikan koleksi ’repertoire’ negara satu masa nanti.

Berminat untuk menonton Inspitari 2012? Dapatkan maklumat untuk pas masuk percuma (terhad) dengan membaca entri ini sepenuhnya!

Program Inspitari adalah platform khusus untuk pencernaan idea dan garapan ilham oleh koreografer-koreografer Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara di semua negeri. Inspitari dimulakan pada tahun 2009 dengan tujuan murni untuk memperkayakan vokabulari dan khazanah tari tanah air dengan memperbanyakkan koleksi tarian-tarian mengikut identiti negeri masing-masing. Inspitari 2011 pada tahun lepas telah membuahkan hasil membanggakan apabila diantara 14 tarian baru yang dipentaskan ketika itu, sekurang-kurangnya enam tarian telah dimantapkan dan dimasukkan di dalam repertoire persembahan yang dilaksanakan oleh JKKN untuk acara-acara yang dikendalikan samada diperingkat negeri, nasional atau antarabangsa.

Diantaranya ialah tarian ‘Nego’ oleh JKKN Kelantan– tarian berasaskan gelagat para peniaga wanita di Pasar Buluh Kubu, Kelantan, Tarian ‘Sambai’ – yang diadaptasi dari tarian rakyat Suku kaum Suluk di Daerah Sandakan. Tarian ‘Ayak-ayak’ – tarian yang menyerlahkan pergerakan aktiviti melombong bijih timah oleh pelombong bijih timah di Kuala Lumpur suatu ketika dulu. Begitu juga JKKN Melaka yang tidak kalah mempertaruhkan kesenian masyarakat Portugis dengan tarian ‘Golek-golek’ merupakan tarian kreasi baru yang direkacipta berasal daripada lagu ‘golek-golek’ ciptaan Noel Felix, seorang Portugis tempatan lebih kurang 50 tahun dahulu.

Manakala Inspitari pada tahun 2012 ini akan menyaksikan kesemua 16 tarian yang dihasilkan atau diolah semula ini telah diberi nafas segar dari segi pola lantai, pergerakan dinamik mahupun susunan lagu dan busana. Lebih 274 orang Artis Budaya (Tari) Kumpulan Kesenian (KK) JKKN dari seluruh negara akan mengikuti Inspitari 2012. Antara tarian yang bakal dipersembahkan ialah Tarian ‘Awang Batil’ oleh KK JKKN Perlis, ‘Tari Jelapang’ oleh KK JKKN Kedah denan inspirasi daripada pergerakan pesawah dan mitos semangat padi, KK JKKN Pulau Pinang bakal menyusul dengan ‘Lanca’ atau beca yang popular di Georgetown, KK JKKN Perak pula mempersembahkan koroegrafi tari yang diberi sentuhan segar dari sebuah tarian sukuan/daerah negeri iaitu ‘Gambus Kampung Padang Changkat’, dari Kuala Kangsar Perak. Sementara itu, KK JKKN Selangor menghidangkan ‘Zapin Cemara’, KK JKKN WP Kuala Lumpur pula tidak kalah dengan ‘Zapin Woye’ yang diolah dari kombinasi gerakan wayang kulit dan dinamisme zapin.

KK JKKN Negeri Sembilan menghidangkan ‘Seramik’, KK JKKN Melaka pula membawakan Tarian ‘Inang Bukit Cina’ merupakan inang kreasi yang memperlihatkan gaya gerakan inang baru yang ditari menggunakan bim poh (sapu tangan) hasil asimilasi budaya Melayu dan Cina membentuk Baba Peranakan. KK JKKN Johor pula bakal menggegarkan dengan ‘Tari Masadeka’ yang diilhamkan dari gerakan teater rakyat Hamdolok dari Batu Pahat.

Bagi negeri-negeri pantai Timur pula, Tari “Moh Mutik Teh” merupakan koreografi baru yang direka khas dan diadaptasi dari aktiviti harian penduduk tanah rata atau tanah tinggi di Cameron Highland serta dibawakan oleh KK JKKN Pahang. KK JKKN Terengganu membawakan Tarian ‘Tedung’ yang diangkat dari kesenian “SABA” yang merupakan persembahan bagi tujuan perubatan tradisional. KK JKKN Kelantan yang pernah menggegarkan pentas dengan Tari ‘Nego’ pada Inspitari 2011 pula membawakan ‘Dikir 3D’ yang menampilkan olahan dari 3 dikir utama negeri Kelantan iaitu Dikir Laba sebagai tonggak di susuli Dikir Rebana Kercing dan Dikir Kreatif sebagai gabungan kreatif seni budaya Kelantan.

Menarik bagi KK JKKN Sabah pula, ‘Selendang Cocos’ yang diinspirasikan dari Tarian Melenggok; salah satu tarian daripada etnik Cocos di Kg.Cocos, Tawau. Penari melenggok mengunakan selendang yang diibaratkan seperti layang-layang ditiup angin. KK JKKN Sarawak pula menyajikan ‘Tarian Sirat’ yang menggambarkan keadaan semasa sambutan Hari Gawai yang disambut oleh masyarakat Iban di Sarawak. Orang lelaki dan perempuan akan memakai pakaian tradisi yang lengkap sebagai tanda menyambut perayaan yang penuh bermakna ini. Pahlawan lelaki akan memakai “Sirat”. “Sirat” ini menjadi lambang salah satu kesenian yang menjadi kebanggaan pada masyarakat Iban dan merupakan tenunan kain “pua”. KK JKKN Ibu Pejabat turut tidak ketinggalan menghidangkan ’Tingkah’ yang tentunya memberi satu kelainan dan sudut pandng yang berbeza.

Sekalipun bertunjang komersial, keaslian dan disiplin dalam tarian tradisional masih dikekalkan. Improvisasi yang diketengahkan bertujuan menghasilkan persembahan yang lebih menarik, relevan dan seiring dengan tuntutan peredaran zaman.

Menurut YBhg. Dato’ Norliza Rofli, Ketua Pengarah JKKN – Kesemua 14 kumpulan mewakili seluruh negeri sebelum ini telah melalui pengisian program seperti bengkel dan latihan kumpulan yang berlangsung sebelum ini. Tugasan yang diberikan kepada para koreografer seluruh negara adalah mudah : iaitu menghasilkan sebuah tarian sama ada berasaskan tarian sedia ada masyarakat setempat di negeri masing-masing. Membuat olahan semula agar ia lebih menarik dan segar, sesuai dengan keadaan masa kini agar dapat dihindari dari kepupusan, sebaliknya akan terus dilestarikan oleh generasi masa kini. Atau, garap sebuah tarian baru berasaskan kehidupan masyarakat setempat masa silam atau masa kini.

Berdasarkan penyelidikan dan olahan semula, 16 tarian yang dikoreografkan oleh 16 orang koreografer pada Malam Gala Inspitari ini telah melibatkan 274 orang Artis Budaya (Tari) di bawah JKKN. Apa yang telah dipersembahkan mungkin bukan sempurna sepenuhnya, namun setidak-tidaknya, idea baru dan garapan segar telah mula dibenihkan melalui persembahan pada malam ini. JKKN amat menggalakkan karyawan seni tempatan untuk terus berkarya dan bereksperimen di samping membantu memberi nilai tambah terhadap penciptaan mereka agar sejajar dengan arus pemodenan dunia tanpa sempadan kini.

JKKN sentiasa peka mencari inisiatif untuk memberi nilai tambah, pembaharuan ke arah transformasi dan menjadi pemangkin kepada perkembangan seni budaya tanahair dalam mengiktiraf karyawan seni budaya tempatan dengan menyediakan landasan untuk mereka mempersembahkan hasil karya bermutu untuk dikongsi dan dihayati bersama.

EDARAN PASS MASUK PERCUMA 

Pass masuk percuma boleh diperolehi seperti butiran berikut :

 

TARIKH

MASA

TEMPAT

PEGAWAI PENYELARAS

10 -11 Okt. 2012

(Rabu – Khamis )

8.00 pagi – 5.00 petang

Pejabat JKKN, Tingkat 31, Bangunan MAS, Jln Sultan Ismail,50250 Kuala Lumpur  En Muhd Haris Zakaria     (03 -2052 3619 /013-615 9059)

12 – 13 Okt. 2012

( Jumaat – Sabtu )

5.00 petang  – 7.00 malam

Auditorium DBKL, Kuala Lumpur En Muhd Haris Zakaria     (03 -2052 3619 /013-615 9059) Pn Norzila Mamat Ghani           

 

 CADANGAN AGIHAN  PASS MASUK PERCUMA

BIL

PERKARA

JUMLAH

CATATAN

1. Kutipan di Pejabat JKKN

150

Terhad 2 pass masuk percuma bagi setiap seorang.
2. Berkumpulan

100

3. Walk- in

200

4. Tempah

50

Terhad 2 pass masuk percuma bagi setiap seorang. Pass masuk percuma yang ditempah perlu dituntut selewat-lewatnya pada jam 8.00 malam. Selepas jam 8.00 malam, pass masuk percuma berkenaan akan diserahkan kepada penonton yang datang lebih awal.

Konsep Agihan Tiket : “1st Come, 1st Serve”

 

 

July 24th, 2012

oleh: Noorariza Mohd Azahari

Festival Ramadhan yang masuk minggu kedua penganjurannya pada 28 dan 29 Julai 2012 yang akan datang telah berjaya menambat minat para penduduk sekitar Kuala Lumpur dan pelancong yang berminat untuk merasai pengalaman berbuka berlatarbelakangkan Bangunan Sultan Abdul Samad sambil merakamkan suasana senja di tengah-tengah kotaraya ini. Ini adalah sebagai sebahagian usaha untuk menyemarakkan Ramadhan yang mulia seperti di kebanyakan Negara-negara Arab.

Di Mekah Al-Mukarramah misalnya, berlatar belakangkan Kaabah, anda dapat menikmati kurma pilihan seperti sukkari, ajwa, routab, anbar dan lain-lain lagi yang disesuaikan dengan minuman arab iaitu Qahwah (kopi pahit) dan teh bersama daun pudina. Mengambil kira keindahan menyambut Ramadhan di Negara Timur Tengah, Kuala Lumpur juga berpeluang menyemarakkan sambutan tersebut secara sederhana tetapi meriah dengan juadah berbuka merangkumi bubur lambuk Kampung Baru sebagai menu utama selain kurma dan manisan yang bersesuaian.

Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Datuk Norliza Rofli gembira kerana usaha yang dilaksanakan secara julung kalinya hasil kerjasama erat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MAIWP), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, malahan media penyiar (radio) Klasik Nasional dan Ikim.fm, Muzium Kesenian Islam, Sungei Wang Plaza dengan kerjasama RTM dan kariah-kariah masjid sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya turut sama berganding bahu menjayakan festival yang pertama seumpamanya di Malaysia ini.

Sebagai sebahagian daripada kehangatan Festival Kuala Lumpur yang giat dilaksanakan sepanjang Julai dan terus disemarakkan dengan sambutan Ramadhan. Menurut Norliza lagi; festival ini bersesuaian dengan tradisi masyarakat Islam di Malaysia yang menyambut Ramadhan dengan aktiviti tadarus Al-Quran, berzanji, marhaban dan sebagainya bersesuaian dengan Ramadhan yang mulia dan sepatutnya disemarakkan dengan pelbagai ibadah dan bukanlah sekadar pengisian untuk sambutan Aidilfitri semata-mata.

Program-program baru ini menjurus kepada suasana baru dalam seni budaya dan bukan sekadar penjenamaan semata-mata. Misalnya aktiviti seperti berzanji, marhaban, nasyid bahkan program mengimarahkan masjid (meramaikan) sempena bulan Ramadhan sudah lama menjadi tradisi dan budaya masyarakat beragama Islam di Negara kita namun tidak pernah menjadi sebagai sebahagian acara mega Negara.

Mengambil pendekatan ini, JKKN berhasrat untuk melaksanakan Festival Ramadhan yang akan mendekati pembudayaan dan tradisi Islam dalam menyambut Ramadhan dengan menyemarakkan Ramadhan dengan aktiviti ibadah seperti bersedekah, berzikir, bertadarus, dan pelbagai kaedah untuk menyemarakkan ruh Ramdhan. Usaha ini tidaka kan Berjaya tanpa kerjasama media massa, korporat, komuniti dan pihak berkuasa tempatan bagi menjayakan aktiviti ini. Festival ini juga diharapkan dapat membantu memandu masyarakat menghormati dan memuliakan bulan yang mulia ini khususnya di kalangan generasi muda Malaysia sesuai dengan pembangunan ruhani dan modal insan.

Berteraskan tema ‘Tangan yang memberi lebih baik dari yang menerima!’ ; Festival ini bertujuan untuk; meningkatkan aspirasi rakyat Malaysia terhadap bulan Ramadhan selain bertujuan untuk mengimarahkan (menyemarakkan) kegiatan keruhanian di kalangan generasi muda semasa bulan Ramadhan seperti aktiviti yang meningkatkan ruh ramadhan sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah serta disuruh oleh Rasulullah SAW di dalam bulan Ramadhan seperti tadarus Al-Quran, iktikaf, zakat fitrah, solat tarawih, qiyamullail, sahur, ifthor-memberi makan kepada yang berpuasa dan sebagainya adalah menjurus kepada melahirkan insan muttaqin.

Firman Allah SWT : “Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” Al Baqarah : 183

Festival ini turut menjadi keistimewaan baru kepada Festival Kuala Lumpur yang disemarakkan dan disesuaikan dengan sambutan Ramadhan yang sinonim dengan masyarakat Malaysia.

Artikel selebihnya dengan membaca entri ini sepenuhnya.

Festival Ramadhan akan merangkumi program-program keruhanian, persaudaraan dan komuniti seperti Berzanji, Tadarus Al-Quran, Pertandingan Cipta Lagu Nasyid, Pertandingan Cipta Lagu Raya, Pertandingan Nasyid, Pertandingan Marhaban, Konsert Ruhani, Pameran Kaligrafi, Peragaan Busana Islam, Pertandingan Busana Islam serta program ’Jom Berbuka Puasa’ juga Solat Terawih Perdana.

Selain itu juga, mengambil kira kebimbangan terhadap kemungkinan ’pupusnya’ lagu-lagu raya ciptaan baru yang lebih bersesuaian dengan sambutan Hari Raya kini; JKKN turut mengambil inisiatif untuk menganjurkan Pertandingan Cipta Lagu Raya dengan kerjasama Klasik Nasional. Lagu-lagu yang bertemakan Hari Raya Aidilfitri pada hakikatnya merangkumi skop yang luas. Selain bertemakan kasih sayang antara ibu bapa dan insan tersayang, kisah perantau pulang beraya 1,001 cerita yang boleh disentuh untuk menggambarkan sambutan Aidilfitri di Malaysia di alaf baru. Kesemua itu bagi menunjukkan kemeriahan sambutan perayaan yang sinonim dengan budaya orang Melayu yang berhijrah ke bandar-bandar besar untuk mencari rezeki menguatkan nilai sentimental itu. Lantaran itu, setiap kali lagu-lagu raya dihasilkan pada tahun-tahun 1960-an hingga 1980-an berkumandang di radio, hati golongan ini lebih mudah mengimbau rasa tersebut. Nilai-nilai nostalgia itu masih kuat mencengkam kerana itu adalah antara fasa terawal penghijrahan mereka ke bandar. Bagaimanapun, selepas generasi pertama ini tiada dan digantikan dengan yang seterusnya nilai-nilai kebergantungan terhadap cara-cara kehidupan kampung semakin pudar. Ia termasuklah daripada segi budaya, budi bahasa malah, sehingga kepada selera makan yang semakin moden. Dalam hal ini, peranan lagu-lagu dan yang berkonsepkan hari raya didapati semakin lama semakin sedikit dan Pertandingan ini adalah untuk menyahut cabaran penceritaan sambutan Aidilfitri di kalangan generasi muda Malaysia tanpa meminggirkan elemen malar segar yang mendominasi lagu.

Penganjuran Festival Ramadhan yang julung kali ini juga adalah selaras dengan hala tuju kerajaan, untuk memupuk semangat menghormati Ramadhan yang mulia menerusi aktiviti seni budaya yang sebenarnya telah lama berakar umbi dalam kebudayaan kita setiap kali menyambut ketibaan Ramadhan dengan mengorak langkah baru dan menggabung kaedah tradisi dalam sambutan Ramadhan dengan kaedah berikut :

 

i.        Aktviti komuniti dan perpaduan; seperti ’Jom Berbuka Puasa’ yang akan dilaksanakan di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad pada setiap hujung minggu (Sabtu & Ahad) di bulan Ramadhan sehingga 11 Ogos serta Buka Puasa Mega, Solat Terawih Perdana dan Solat Maghrib dan Isyak  juga Ceramah Perdana pada 11 Ogos. Aktiviti Berbuka Puasa atau iftar ini bukanlah sekadar datang dan berbuka semata-mata, akan tetapi adalah sebagai penyambung dan juga pelengkap kepada ikatan ummah yang bersatu padu, sesuai dengan konsep satu Malaysia. Rakan-rakan bukan Muslim serta pelancong di sekitar KL juga dapat merasai pengalaman berbuka puasa secara sederhana tetapi dengan semangat kekitaan yang erat.

 

ii.        Penyemarakan dan pendekatan untuk menarik bukan sahaja generasi muda dan anak-anak seni berkreatif melalui karya seni visual dan kaligrafi Islam seperti pada pameran yang bakal diadakan di Muzium Kesenian Islam (iaitu Pameran Kaligrafi Islamik, Pertandingan Tulisan Khat, Bengkel Kaligrafi dan Bengkel Kraf untuk Kanak-kanak) pada 21 Julai hingga 17 Ogos 2012.

 

iii.        Menghimpunkan pelbagai kaedah tradisi dalam sambutan Ramadhan seperti aktiviti Tadarus Al-Quran dan berzanji yang bakal dilaksanakan oleh JAKIM, MAIWP dan kariah-kariah di Masjid Negara, Masjid Tunku Mizan, Putrajaya, Masjid Putra, Putrajaya, Masjid Imam As-Syafie, Taman Maluri, Kuala Lumpur, Masjid Muadz B. Jabbal, Setiawangsa, Kuala Lumpur, Masjid Saidina Hamzah, Kg. Batu Muda, Kuala Lumpur dan Masjid Sallahuddin Al-Ayubi, Taman Melati, Kuala Lumpur pada setiap Solat Asar, jam 5.00 petang sepanjang Ramadhan.

 

BIL

TEMPAT

TARIKH

1

Masjid Negara Kuala Lumpur

28 Julai 2012

(Sabtu)

2

Masjid Tuanku Mizan Putrajaya

28 Julai 2012

(Sabtu)

3

Masjid Putra, Putrajaya

29 Julai 2012

(Ahad)

4

Masjid Imam As- Syafie, Taman Maluri, Kuala Lumpur

30 Julai 2012

(Isnin)

5

Masjid Saidina Hamzah, Kg. Batu Muda, Kuala Lumpur

1 Ogos 2012

(Rabu)

6

Masjid Muadz B. Jabbal, Setiawangsa, Kuala Lumpur

4 Ogos 2012

(Sabtu)

7

Masjid Amru Al-Ass, Sentul,Kuala Lumpur

10 Ogos 2012

(Jumaat)

 

iv.        Pertandingan Cipta Lagu Raya dan Lagu Nasyid yang akan dikendalikan oleh Klasik Nasional (Bagi Lagu Raya) dan Ikim.fm bagi lagu nasyid. Pertandingan ini terbuka kepada seluruh warganegara Malaysia yang berbakat dalam penciptaan lagu dan penulisan lirik, untuk menyumbangkan karya mereka dalam ciptaan lagu-lagu raya.

 

v.        Aktviti kesenian diteruskan dan sebagai menghormati bulan Ramadhan yang mulia, Konsert Ruhani diadakan pada 11 Ogos 2012 dari jam 5.30 petang hingga 6.00 petang berteraskan Bacaan Ayat Suci Al-Quran, Gambus Solo dan Berkumpulan, Lagu-lagu Puisi Keruhanian dan Nyanyian Nasyid juga Dikir Barat di Pentas Bergerak, berhadapan Panggung Bandaraya, Jalan Raja, Kuala Lumpur.

 

vi.        Seni berbentuk rakyat dan lebih ’intim’ dengan masyarakat diteruskan dan disesuaikan dengan sambutan Ramadhan seperti Pertandingan Nasyid dan Pertandingan Marhaban di Pentas Bergerak, berhampiran Panggung Bandaraya, Jalan Raja, Kuala Lumpur. (Tarikh seperti pada edaran di lampirkan)

 

vii.        Peragaan dan Pertandingan Busana Islam oleh sepuluh (10) buah butik busana Islam sekitar Kuala Lumpur seperti para pengusaha butik berikut – Fashion Design & Beauty Centre, BB Plaza, Resmi Creations, BB Plaza, RNR Concept, Ipoh, Perak, K RABAT Solutions, Seleksi Akma, Zattera Apparel,Atika Murni, Lady Executive Boutique dan Salsabeela Muslimah Attire di Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur.

 

viii.        Program Singgah Sahur pula akan melibatkan karyawan seni terkenal tanahair yang akan turut turun dan memberi sumbangan juga mengagihkan bantuan makanan sempena Sahur kepada gelendangan dan fakir miskin di ibu kota.

 

Bagi umat Islam, Kita wajib mengambil peluang sebaik mungkin untuk meraih taqwa yang telah Allah janjikan dengan kedatangan Ramadhan. Sememangnya Ramadhan itu diprogramkan oleh Allah SWT untuk melahirkan hamba-hamba yang bertaqwa kepada Allah agar lebih ramai yang berpotensi untuk memasuki syurgaNYA. Ramadhan adalah bulan al Quran. Seharusnya kita jadikan Ramadhan sebagai bulan untuk kita kembali menghayati dan mengingati fungsi dan tujuan sebenar penurunan Al Quran. Maka atas saranan tersebut, JKKN dan JAKIM mengambil inisiatif ini untuk menyuburkan roh Ramadhan menerusi program keinsanan dan keruhanian yang bersusaian dengan tradisi masyarakat Malaysia menyambut Ramadhan.

Laman web rasmi festival ini turut berkongsi dengan laman web Festival Kuala Lumpur iaitu www.klfestival.org. Para peminat seni tanahair dan luar negara boleh mengunjungi laman rasmi ini untuk memuat turun kalendar aktiviti dan informasi aktiviti berkaitan acara yang akan berlangsung. Manakala untuk maklumat awal boleh melayari laman sosial ‘fan page facebook’ Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Dengan penganjuran program-program ini, adalah diharapkan masyarakat Malaysia yang berbudaya berteraskan gagasan 1Malaysia dapat dilahirkan, di samping mempergiatkan usaha mengekal dan memulihara serta mengembangkan kebudayaan dan kesenian masyarakat kita.

Jadual penuh Festival Ramadhan 2012 boleh dilihat di sini:-